Ketegasan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim membela nasib umat Islam Palestin perlu dipuji.
Menurut Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, PM tidak pernah gentar berhadapan negara kuasa besar dunia dalam menentang kekejaman rejim Israel ke atas Palestin.
Terbaharu, dalam menjawab provokasi wartawan Barat di sidang media bersama Canselor Jerman dan sebelumnya dalam mesyuarat bersama Presiden Amerika Syarikat Anwar menegaskan perlunya keganasan Israel dihentikan.
"ABIM memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berterusan menzahirkan pendirian Malaysia dalam membela hak rakyat Palestin serta melawan hipokrasi negara barat di pentas antarabangsa.
"Terkini, beliau menyatakan pendirian tegas Malaysia di hadapan Canselor Jerman, Olaf Scholz. Sebelumnya dalam Persidangan APEC 2023 di San Francisco, Perdana Menteri mendesak Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden agar segera menghentikan pembunuhan kanak-kanak di Gaza.
"Antara perkara dasar yang dibawa oleh Perdana Menteri (dalam isu Palestin) dengan mengetengahkan konsep “politics of dispossession” yang diutarakan oleh pemikir besar Edward Said merujuk kepada tindakan tidak berperikemanusiaan negara haram Israel dan warganya ke atas penduduk Palestin, wajar dihormati," katanya dalam satu kenyataan.
Sikap memperjuangkan Palestin oleh Anwar, kata Fahmi, adalah berlanjutan daripada perjuangan era 1970an sewaktu beliau menerajui ABIM sehinggalah ke hari ini.
"Beliau turut dikenali sebagai sosok yang konsisten memperjuang nasib rakyat yang ditindas dan dizalimi, mewakili pandangan masyarakat awam yang acapkali ditekan atau dipinggirkan oleh media arus perdana dan kuasa-kuasa besar.
"Pendirian tegas Perdana Menteri ini juga seharusnya meningkatkan iltizam seluruh rakyat Malaysia untuk terus berusaha sehingga hak rakyat Palestin terbela sepenuhnya bersandarkan pada lunas kemanusiaan sejagat dan undang-undang antarabangsa," kata Fahmi lagi.
Sesuai dengan pendirian mendukung rakyat Palestin, beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk melipatgandakan usaha supaya suatu hari kelak Palestin akan merdeka dan keamanan di rantau Asia Barat dapat disuburkan semula.
Commenti