Dapur Digital PPR Seri Alam: Peluang baharu wanita B40 ceburi keusahawanan
- Suara Keadilan

- Sep 28
- 1 min read

Majlis Perasmian Dapur Digital PPR Seri Alam berlangsung dengan meriah baru-baru ini, dirasmikan oleh Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, sekali gus menandakan permulaan kepada inisiatif yang diyakini bakal memberi impak besar kepada komuniti setempat, khususnya golongan wanita.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Penaung Dapur Digital PPR Seri Alam merangkap Ketua Wanita Cabang Cheras, Yap Kuay Hua, serta Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Lai Chen Heng, yang memberikan sokongan penuh terhadap penganjuran program ini.
Kelancaran program disumbang oleh kerjasama penyelaras program, Mohd Faizal dan Puan Siti Marina, selain komitmen tinggi Mej. B. (PA) Zaihan Zainal, Ketua Program Dapur Digital, Pepper Labs.
Dalam ucapannya, Kuay Hua menegaskan peranan Dapur Digital sebagai platform memperkasa wanita, khususnya golongan berpendapatan rendah.

"Dengan adanya Dapur Digital, kami berharap dapat memberi peluang kepada wanita, terutamanya golongan wanita B40, ibu tunggal dan mereka yang ingin menambah pendapatan.
"Program ini memberi ruang kepada mereka untuk mengembangkan potensi diri dalam bidang keusahawanan dan digital, sekaligus membuka peluang kepada mereka untuk memperbaiki taraf hidup," katanya.
Program Dapur Digital bukan sahaja menyediakan ruang memasak, tetapi juga menawarkan latihan, akses ke platform e-dagang, serta fasiliti memproses, membungkus dan menjual produk makanan secara digital.
Inisiatif ini menyasarkan golongan B40 di PPR dan perumahan awam — termasuk ibu tunggal, belia dan suri rumah — untuk menjana pendapatan secara lebih inklusif dan berdaya saing.
Selain perasmian, majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan mewarna, sukan tradisional, cabutan bertuah dan bengkel melukis tote bag, yang berjaya mengeratkan hubungan komuniti dan menceriakan suasana.









Comments