Dapur Digital bukti reformasi MADANI, lonjak ekonomi komuniti B40
- Suara Keadilan

- Jul 8
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan MADANI terus memperkukuh usaha memperkasa sosioekonomi komuniti berpendapatan rendah menerusi pelbagai inisiatif inklusif, termasuk program Dapur Digital yang kini menunjukkan hasil memberangsangkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, sejak diperkenalkan pada tahun lalu, lima Dapur Digital yang diwujudkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur berjaya mencatat jualan terkumpul melebihi RM1 juta.
"Pembangunan sebenar berlaku apabila kita membina keupayaan insan agar mereka berpeluang membuat pilihan hidup yang lebih bernilai dan bermaruah.
"Inilah wajah sebenar reformasi sosioekonomi yang sedang kita usahakan. Ia membuka ruang untuk rakyat meningkatkan pendapatan melalui Kerangka Ekonomi MADANI," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dr Zaliha sebelum itu hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci kepada 10 lagi Dapur Digital baharu di Kuala Lumpur bagi tahun 2025.
Program Dapur Digital merupakan antara langkah signifikan kerajaan dalam memperkukuh ekonomi komuniti B40, khususnya golongan ibu tunggal dan belia, melalui inovasi digital. Ia berfungsi sebagai hab ekonomi setempat bagi membantu usahawan mikro menjana pendapatan yang lebih mampan.
Dalam Belanjawan 2025, Kerajaan MADANI mengumumkan peruntukan RM5 juta bagi menambah 25 lagi Dapur Digital di seluruh negara, dengan Kuala Lumpur menerima sebanyak 10 buah — menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai peneraju utama inisiatif ini.
"Wilayah Persekutuan akan terus memimpin pendekatan pembangunan yang lebih adil dan menyeluruh, dengan Dapur Digital menjadi salah satu langkah konkrit untuk merapatkan jurang ketidak kesamaan dalam masyarakat.
"Kepada semua penerima kunci hari ini, anggaplah ini sebagai amanah untuk mengubah hidup anda dan keluarga, dan saya harap, selepas ini saya dapat kembali lagi ke sini untuk mendengar kisah-kisah kejayaan baru dari dapur anda sendiri," ujarnya.









Comments