top of page

DAP lapor polis kaitkan parti dengan institusi raja N Sembilan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
12 hours ago
2 min read

DAP Negeri Sembilan mengambil langkah tegas dengan membuat laporan polis terhadap satu dakwaan melampau melalui hantaran media sosial mengaitkan parti itu dengan krisis institusi Diraja negeri serta isu tanah adat.


Pengerusinya J Arul Kumar (gambar) berkata hantaran menerusi akaun Facebook menggunakan nama Khalide Al Walid itu antara lain mendakwa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mempunyai kaitan dengan DAP.


Menurut beliau hantaran berkenaan turut mengaitkan DAP dengan isu tanah adat, kehadiran wakil rakyat parti itu pada taklimat di Pejabat Agama serta pertukaran nama jalan.


"Sebagai parti politik, sudah tentu kita biasa berhadapan dengan pelbagai kritikan kerana ada pihak yang tidak setuju dengan kita.


"Tetapi apabila mengaitkan institusi Diraja dengan parti politik dengan membuat tuduhan tidak sepatutnya seperti mengatakan ‘Yamtuan belaan DAP’, ini adalah sesuatu yang sudah melampaui batas," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban hari ini, lapor media tempatan.


Hantaran terbabit antara lain mendakwa: ‘Yamtuan belaan DAP yang sanggup gadai tanah adat demi kuasa, sebab itu 4 Undang memutuskan Yamtuan ini diturunkan’.


Arul Kumar yang juga ADUN Nilai berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti pemilik dan latar belakang akaun berkenaan serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang.


Beliau menegaskan DAP tidak pernah campur tangan dalam urusan tanah adat atau agama Islam seperti yang didakwa.


Katanya sepanjang dua penggal menjadi Exco kerajaan negeri sebelum ini, isu pemindahan milik tanah adat tidak pernah dibincangkan.


"Saya masih ingat apabila ada isu berkaitan dengan tanah adat, Kerajaan Negeri pada masa itu terus menolak sahaja tanpa melihat apa-apa sebab," katanya.


Mengenai dakwaan wakil rakyat DAP menghadiri mesyuarat di Pejabat Agama, Arul Kumar berkata kehadiran mereka adalah atas kapasiti sebagai wakil rakyat bagi mendapatkan maklumat untuk disampaikan kepada pengundi dan penduduk, khususnya masyarakat Islam di kawasan masing-masing.


"Begitu juga berkenaan DAP masuk mesyuarat Pejabat Agama di Port Dickson. Itu bukan mesyuarat sebaliknya kita sebagai wakil rakyat telah diberikan taklimat tentang perjalanan organisasi agama," katanya.


Mengulas pertukaran nama jalan pula, beliau berkata perkara itu merupakan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dan tidak wajar dikaitkan dengan mana-mana parti politik.


Arul Kumar berkata DAP tidak mahu isu berkenaan dipolitikkan atau parti itu dikaitkan dengan krisis yang sedang berlaku kerana perkara membabitkan institusi diraja perlu diselesaikan mengikut proses dan undang-undang.


Menurutnya perkembangan itu kini berada pada tahap kritikal apabila pelbagai pihak mengeluarkan kenyataan yang didakwa boleh menjejaskan imej serta maruah institusi Diraja Negeri Sembilan.


"Saya juga khuatir kandungan tersebut boleh memberikan gambaran dan persepsi yang salah kepada masyarakat bahawa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dikawal atau dipengaruhi oleh DAP dalam menjalankan fungsi baginda," katanya.


Beliau berkata semua pihak perlu memastikan krisis berkenaan diselesaikan segera supaya pentadbiran kerajaan negeri dapat berfungsi dengan baik.


Arul Kumar turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap hantaran yang membuat tuduhan terhadap institusi Diraja, termasuk Undang Yang Empat.


"Kalau kita terus biarkan hantaran-hantaran sebegini di media sosial tanpa ada sebarang tindakan, sudah tentu lebih ramai lagi yang akan berani buat tindakan sama.


"Ia secara tidak langsung akan menjatuhkan imej dan maruah institusi diraja khususnya di Negeri Sembilan, termasuklah Undang Yang Empat," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page