DAP buat laporan polis tuduhan palsu babit laman web parti
- Suara Keadilan
- Apr 5, 2024
- 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid
DAP tampil membuat laporan polis hari ini berhubung tangkap layar palsu membabitkan laman web rasmi milik parti itu kononnya menyifatkan Pakatan Harapan (PH) dan UMNO sebagai “anjing” mereka.
Setiausaha Publisitinya, Teo Nie Ching berkata, DAP memandang serius tuduhan jahat dan palsu itu selain menegaskan petikan tersebut tidak disebut dalam mana-mana platform rasmi parti berkenaan.
"Ia sebenarnya merupakan grafik yang direkayasa untuk menimbulkan fitnah dan mencetuskan perbalahan semata-mata.
"Oleh yang demikian, DAP akan membuat suatu laporan polis berkenaan hal itu supaya tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak yang menyebarkan fitnah terbabit," katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, perbuatan khianat sebegini bukanlah sesuatu yang asing buat DAP memandangkan parti itu sudah bertahun-tahun menghadapi fitnah sebegini.
"Maka usaha dangkal sebegini adalah kerja sia-sia golongan yang terdesak dan ketandusan idea," ujarnya.
Untuk rekod, tangkap layar itu memaparkan tulisan Mandarin mendakwa:
"Kita tidak perlukan anjing untuk menyerang orang Melayu. Kita hanya perlu mencipta anjing daripada orang Melayu (PH+UMNO) untuk menghancurkan Melayu dan Islam!”
"Anjing kita Melayu (PH+UMNO), mereka fikir kita (DAP) adalah Tuhan Mereka… Dewa lama mereka sudah mati!"
Oleh itu, Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai menegaskan cubaan untuk memburukkan parti itu tidak menjejaskan gelombang penyertaan orang Melayu menyertai DAP.
"Malahan ia menyebabkan lebih ramai yang menyertai parti (DAP) kerana benci akan pembohongan seperti ini," ujar beliau lagi.
Commentaires