
Satu sistem yang membolehkan dana awam dipohon secara terus dari Kementerian Ekonomi dijangka beroperasi menjelang minggu ketiga Jun
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata dana disediakan itu hanya melibatkan projek berskala kecil seperti menangani longkang tersumbat di kawasan perumahan dan sebagainya.
"Kami sedang merancang, selepas ini, peruntukan bagi projek awam boleh dipohon secara terus kepada Kementerian Ekonomi oleh sesiapa sahaja di Malaysia. Pejabat Daerah dan jabatan negeri juga boleh memohon secara terus dengan kita.
"Jadi, tak perlu lagi lapisan-lapisan semua ini. Langkah ini akan menjadikan situasi menang-menang kepada semua," katanya dipetik.
Mengulas lanjut mengenai sistem yang dirancang itu, Rafiz menjelaskan ketika ini hanya wakil rakyat, pegawai daerah dan pihak berkuasa tempatan sahaja boleh memohon peruntukan daripada kerajaan. Permohonan itu diuruskan Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang dikawal selia Jabatan Perdana Menteri.
"Namun, saya percaya kita perlu membuka proses ini kepada semua orang. Rakyat sering memohon kepada wakil rakyat supaya selesaikan masalah sedangkan wakil rakyat tidak mempunyai dana dan perlu memohon bagi pihak mereka.
"Jadi, proses sebelum ini berlapis-lapis," katanya.
Ahli Parlimen Pandan itu juga menjelaskan kementeriannya kini diberi tanggungjawab melakukan perancangan ekonomi jangka panjang, yang sebelum ini diuruskan oleh EPU.