top of page

Dana penyelidikan ditambah dalam Belanjawan 2027 - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 3 min read
DS Anwar merasmikan National Innovation and Commercialisation Expo (NICE) 2026 di KLCC
DS Anwar merasmikan National Innovation and Commercialisation Expo (NICE) 2026 di KLCC

Kerajaan akan menambah peruntukan dana penyelidikan dalam Belanjawan 2027 dengan kerjasama antara agensi kerajaan, universiti, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan sektor swasta perlu diperkukuh bagi memastikan dana digunakan dengan lebih cekap.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peningkatan peruntukan itu perlu dilaksanakan dalam ruang fiskal yang terhad kerana kerajaan tidak boleh terus menambah hutang atau meningkatkan cukai bagi menampung setiap tuntutan perbelanjaan.


"Dana untuk penyelidikan tentu ditambah. Bulan depan, dalam awal Oktober, kita akan luncurkan Belanjawan Negara dan tentunya dalam kedudukan kapasiti saya, semua jabatan, semua unit, semua desa dan bandar dan negeri dan wilayah menuntut peruntukan tambahan.


"Dan peruntukan tambahan itu ada had dia, kerana kita tidak boleh hutang tinggi. Kita tidak boleh mengharapkan dana dari langit, dia dana dari cukai dan kita tak upaya nak tingkatkan cukai," katanya ketika berucap merasmikan National Innovation and Commercialisation Expo (NICE) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.


Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Ts. Mustapha Sakmud.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kekangan fiskal menuntut kerajaan lebih berhati-hati dalam perbelanjaan sekali gus menuntut kementerian dan agensi melihat keupayaan kewangan negara dalam kerangka lebih menyeluruh.


"Semua pimpinan ini harus tahu apa dia kekangan. Apa keupayaan kita? Tetapi kita memanfaatkan dengan sebaiknya apa yang ada.


"Sebab itu, saya kata sinergi di antara badan Kerajaan, universiti, GLICs, syarikat-syarikat swasta harus wujud supaya lebih cekap dan pantas," saran beliau.


Jelas Perdana Menteri, pertumbuhan ekonomi negara sekitar enam peratus tidak bermakna hasil kerajaan turut meningkat pada kadar setimpal sehingga membolehkan perbelanjaan ditambah dengan mudah.


Beliau berkata corak pelaburan baharu khususnya dalam kecerdasan buatan (AI), pusat data dan sektor digital memberi kesan besar kepada pembangunan, peluang pekerjaan serta peningkatan keupayaan teknologi namun ia tidak semestinya menghasilkan pulangan langsung kepada kerajaan.


"Saya ramai yang tanya, dia kata, ‘Anwar, dah catat 6% pertumbuhan, ini sepatutnya hasil lebih tinggi dan belanja boleh lebih banyak.’ Tapi itu tak betul, itu memang poor economics."


Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengarahkan pendekatan birokrasi lama dalam bidang inovasi dan pengkomersialan ditinggalkan bagi membolehkan negara bertindak lebih pantas mengikuti perkembangan teknologi.


Beliau mengambil contoh penubuhan fakulti kecerdasan buatan (AI) di beberapa universiti yang berjaya dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan selepas kerajaan memberikan penekanan terhadap bidang berkenaan.


"Tetapi bila kita beri penekanan ini, saya lihat beberapa fakulti AI itu diwujudkan dalam masa tiga bulan. Maknanya, kita ada keupayaan dan ini satu kemestian, satu keperluan mengikut tuntutan masa.


"Saya tekankan ini terutama dalam dunia inovasi dan commercialisation, mana boleh kita ikut birokrasi lama? Tidak mungkin," katanya.


Sehubungan itu, Anwar menggesa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memainkan peranan lebih agresif dalam meneroka pemikiran serta kaedah baharu, selaras kedudukannya sebagai kementerian penting dalam menentukan hala tuju teknologi negara.


Pada masa sama, beliau mahu sektor swasta meningkatkan penglibatan dalam penyelidikan dan inovasi kerana terdapat syarikat tempatan yang mempunyai kemampuan penyelidikan sehingga mengatasi sesetengah agensi.


"Banyak syarikat swasta Malaysia yang menunjukkan keupayaan mereka dalam bidang penyelidikan yang kadang-kadang mengatasi keupayaan beberapa agensi tertentu. Kita manfaatkan kegiatan itu.


"Saya telah mengusulkan supaya syarikat swasta juga menumpukan perhatian dalam penyelidikan dan dalam usaha daya cipta," katanya.


Anwar turut mahu kepakaran saintis dan penyelidik tidak hanya tertumpu di institusi atau kelompok tertentu sebaliknya dibawa terus ke sekolah, institut pendidikan guru, kolej vokasional, politeknik dan universiti.


Menurut beliau, bidang baharu seperti AI dan teknologi kuantum perlu didedahkan lebih awal kepada pelajar tanpa menunggu keseluruhan sistem serta kurikulum pendidikan berubah.


"Mengapa soal AI itu menjadi milik kelompok kecil? Mengapa tak boleh kita dedahkan kepada khalayak? Mengapa soal technology quantum yang sekarang menjadi fokus itu tidak disampaikan dengan bahasa yang mudah kepada anak-anak sekolah dan universiti?


"Apakah kita tidak ada keupayaan? Kalau kita nak tunggu sistem dan kurikulum sekolah dan univerisiti berubah tentunya mengambil masa," katanya.


Beliau berkata kerajaan juga mahu hasil inovasi tempatan bukan sekadar dicipta di Malaysia, tetapi mampu dikomersialkan dan menembusi pasaran antarabangsa menerusi pendekatan “made by Malaysia”.


"Saya harap menteri dan rakan-rakan di kementerian tumpu supaya selain daripada penghasilan innovation ialah misi kepasaran, ‘Malaysia to market’ supaya manfaat rakyat itu dapat benar-benar dirasai," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page