top of page

Dana Justice For Zara tidak diseleweng, guna untuk proses inkues - Marhamah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 7 minutes ago
  • 2 min read

Ustazah Marhamah pada hari pertama sebagai Timbalan Menteri Agama, semalam
Ustazah Marhamah pada hari pertama sebagai Timbalan Menteri Agama, semalam

Dana bagi kempen Justice For Zara tidak pernah disalah guna sebaliknya, tabung itu digunakan bagi menampung kos sepanjang proses inkues kematian pelajar Zara Qairina Mahathir di Sabah.


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli yang merupakan antara aktivis terawal kes itu berkata akaun tabung berkenaan diasingkan daripada akaun lain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang pernah beliau terajui.


Sebaliknya, tabung itu mempunyai penama tersendiri yang melibatkan ibu Allahyarham Zara Qairina, beberapa peguam serta jawatankuasa NGO.


"Sepanjang inkues ini kami melibatkan beberapa saksi pakar, jadi kos pengangkutan dan penginapan mereka menggunakan tabung ini.


"Begitu juga kos pengangkutan dan penginapan keluarga Zara Qairina untuk menghadiri mesyuarat dan persiapan inkues turut ditanggung menggunakan tabung ini," katanya dipetik.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengangkat sumpah jawatan pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan serta Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara, semalam.


Marhamah menjelaskan setakat pukul 9 pagi hari ini, kutipan tabung berkenaan mencecah RM254,995.92 dengan baki RM96,059.97 selepas mengambil kira perbelanjaan termasuk kos pengangkutan dan penginapan saksi pakar serta keluarga Zara Qairina sepanjang perjalanan inkues.


Katanya lagi, kutipan tabung itu juga mendapat permit yang dikeluarkan Jabatan Ketua Menteri dan dimaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah selain laporan lengkap sehingga November ini telah disediakan.


"Kami memang bersedia untuk menyerahkan kepada pihak berkuasa (untuk diaudit)," katanya sambil menambah baki dana sedia ada kemungkinan tidak mencukupi memandangkan proses inkues masih berjalan.


Marhamah merupakan individu terawal membantu memberi sokongan kepada Noraidah selepas anaknya, Zara Qairina yang bersekolah di sebuah sekolah menengah agama di Papar disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu.


Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu sebelum itu ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolah tersebut.


Marhamah menegaskan, semua pihak perlu memberi ruang kepada proses inkues yang sedang berjalan selain beliau menyatakan sokongan terhadap keluarga pelajar berkenaan meskipun kini memegang jawatan dalam kerajaan.


"Saya sebagai seorang ibu enam anak dan juga ahli masyarakat, sentiasa ingin berjuang dalam apa sahaja soal penindasan. Bukan hanya dalam kes Justice for Zara, tetapi juga perkara lain," katanya.


Sementara itu, Marhamah turut menafikan dakwaan beliau terlibat dengan penipuan melibatkan emas yang tular di media sosial.


Sebaliknya beliau memaklumkan beliau sendiri turut menjadi mangsa penipuan serta dikhianati dalam kes tersebut.


"Saya bukan ejen. Setiap kali dipanggil, kami buat laporan dan saya sentiasa beri kerjasama penuh," kata aktivis dakwah, kebajikan dan kemasyarakatan itu.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page