
Pembangkang tidak harus memutar belit kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mengenai dana yang diterima PN menjelang Pilihan Raya Umum ke 15 lalu.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan sekiranya tidak mempunyai asas berkenaan perkara tersebut.
Manakala ancaman Pengerusi PN Tan Sri Mahiaddin Yassin akan mengambil tindakan undang undang ke atas beliau berhubung kenyataan beberapa bulan lalu, Anwar tidak mempunyai sebarang masalah.
"Sila baca kenyataan dengan lengkap dan baru ambil tindakan. Tapi kalau dia (Mahiaddin) mahu bawa terus, silakan.
"Saya tidak akan mengeluarkan kenyataan kalau saya tidak ada asas (bukti)," katanya dipetik Harapandaily selepas merasmikan Pesta Buku Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia (WTC), petang tadi.
Anwar berkata demikain ketika diminta mengulas kenyataan Mahiaddin yang mahu mengambil tindakan undang-undang selepas jawapan di Dewan Rakyat oleh Azalina bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai bukti dana diterima PN ada kaitan dengan syarikat judi.
Sebelum ini, Azalina telah mengeluarkan kenyataan menegaskan beliau tidak mahu mana-mana pihak memutar belit jawapannya mengenai perkara berkenaan.
Tegas beliau, pihaknya tidak pernah menyatakan bahawa siasatan mengenai dana judi itu dihenti atau digugurkan.