Dana bantuan banyak diseleweng, nasib masyarakat India ditakuk lama
- Suara Keadilan
- Jul 31, 2022
- 2 min read

Isu keciciran ekonomi dalam kalangan masyarakat India Malaysia telah dibincangkan sejak lebih 5 dekad lalu.
Beberapa dana besar untuk mengimbangi pegangan ekuiti masyarakat India juga pernah diluluskan namun taraf hidup kaum itu masih ditakuk lama.
Bagi Naib Presiden KEADILAN, Saraswathy Kandasamy, masyarakat India perlu dipimpin oleh pemimpin yang amanah dan bukannya meneruskan tradisi memberi dana kepada pemimpin BN seperti berdekad dekad sebelum ini.
"Banyak program telah dicadangkan oleh pentadbiran lalu (BN) dan kerajaan telah memperuntukkan banyak dana tetapi tiada ketelusan dalam mentadbir dana
"Itu menjadi punca masalah utama kaum India. Jadi apabila pada awal tahun 1980an kerajaan membangkitkan penglibatan kaum India dari segi ekonomi (mahu dikembangkan) dari 3% ke 7%, satu idea besar diluluskan, iaitu Maika Holding Sdn Bhd dibentuk.
"Kaum India telah mengambil pinjaman dari bank dan telah melabur dalam Maika Holdings, ada pelaburan RM100 juta (40 tahun lalu). Bersamaan RM1 bilion sekarang.
"Tetapi apa terjadi, ditutup. Jadi masalah India tidak terbela. Apa sebabnya Maika Holdings kena tutup? Rasuah, kebocoran dan ketidaktelusan dalam pentadbiran," katanya.
Begitu juga, sambung beliau, dengan dana bantuan Mitra yang baru baru ini menjadi perdebatan hangat di Parlimen.
Dana itu juga, katanya dibelit kontroversi dan mungkin mempunyai 'penyakit' sama seperti yang dikendalikan MIC pada 1990an lalu.
"Yang kita lihat apa juga program yang dimulakan, baru ini Mitra misalnya, juga ada banyak perbahasan di Parlimen berkenaan isu ini.
"Perkara yang perlu (untuk masyarakat India ialah) meningkatkan sosio ekonomi, dan perlu melibatkan satu pentadbiran yang telus. Itu yang sangat penting," katanya.
Mengenai cara hidup masyarakat India luar bandar, ujar beliau, perlu ada pelan yang lebih tersusun dalam membangunkan sikap dan minda mereka.
Kata Saraswathy, isu utama kebanyakan masyarakat India tersebut dikeluarkan dari ladang kerana pembangunan kawasan dan tidak disediakan pelan jangka panjang sama ada dalam ekonomi atau pendidikan buat mereka.
"Masalah kedudukan ekonomi kaum India berasal daripada latar belakang. 90% kaum India asal dari latar belakang estet.
"Bila estet telah dimajukan untuk pembangunan mereka dikeluarkan dan menjadi masyarakat luar bandar. Maka sistem hidup mereka, eko-sistem berubah dan dia tidak ada pekerjaan yang sama seperti di estet. Cara hidup berlainan.
"Ini menjadi punca banyak masalah sosial, penglibatan dalam aktiviti gangster dan sebagainya," katanya lagi.
Saraswathy Kandasamy telah dilantik sebagai Naib Presiden KEADILAN bersama 2 yang lain. Misi utama beliau adalah bagi merapatkan masyarakat India dengan perjuangan KEADILAN bagi memperjuangkan tahap sosio ekonomi yang lebih baik.
Comments