top of page

Dana asing: Pemimpin MUDA jangan 'pusing' kenyataan Kamil Munim

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • May 20
  • 2 min read

Setiausaha Agung MUDA, Ainie Haziqah Shafiee didakwa cuba “memusingkan fakta” berhubung kenyataan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Kamil Munim berkaitan isu dana dan geran luar negara.


Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Noor Atillah Abdullah Sani (gambar) menyifatkan kenyataan Ainie sebagai “dangkal” dan sengaja memberi gambaran yang menyimpang daripada maksud sebenar yang dibangkitkan oleh Kamil.


"Kamil tidak pernah melarang mana-mana organisasi mendapatkan dana atau geran luar negara.


"Penegasan beliau cukup jelas. Jika wujud sebarang keraguan, maka siasatan wajar dilakukan mengikut lunas undang-undang. Itu sahaja," katanya dalam kenyataan hari ini.


Noor Atillah berkata, isu yang dibangkitkan AMK sebelum ini telah cuba dipolitikkan oleh pihak tertentu demi meraih perhatian politik jangka pendek di media sosial.


"Sebab itu jangan kerana mahu mengejar gema politik sehari, fakta yang terang cuba dikaburkan sehingga orang ramai dibawa jauh daripada maksud sebenar kenyataan asal," tegas beliau.


Noor Atillah turut menolak dakwaan kononnya kerajaan atau mana-mana pihak cuba menyekat suara anak muda yang kritikal terhadap pentadbiran semasa.


Menurut beliau, ramai tokoh politik daripada pelbagai latar belakang termasuk Kamil dan Ainie sendiri lahir daripada tradisi wacana intelektual dan sekolah politik seperti Institut Kajian Dasar.


"Maka tidak timbul soal kerajaan hari ini atau mana-mana pihak mahu mematikan suara anak muda yang kritikal," katanya lagi.


Beliau turut menegaskan ruang demokrasi di negara ini masih terbuka luas selagi setiap himpunan dan demonstrasi berlangsung mengikut lunas undang-undang.


"Hakikatnya, pelbagai demonstrasi dan himpunan terus berlangsung tanpa sebarang tindakan, selagi mematuhi undang-undang dan ketetapan pihak berkuasa," ujarnya.


Mengulas lanjut, Noor Atillah menyindir pendekatan politik MUDA yang disifatkan gemar “menangguk di air keruh” setiap kali tercetus polemik melibatkan pihak lain.


"Dalam politik, berbeza pandangan itu perkara biasa. Namun jangan pula ‘menangguk di air keruh’ setiap kali timbul polemik melibatkan pihak lain.


"Politik yang matang menuntut kejujuran dalam memahami kenyataan lawan, bukan sekadar mencari ruang menjadi jaguh sementara di media sosial," katanya.


Beliau berkata, kenyataan Ainie tidak lebih sekadar cubaan menonjolkan diri dalam polemik saman melibatkan Kamil dan Mandiri, sedangkan isu pokok yang dibangkitkan sejak awal adalah mudah difahami.


Sehubungan itu, Noor Atillah menggesa MUDA supaya kembali memberi fokus kepada agenda rakyat dan memperkukuh fungsi semak dan imbang secara lebih matang.


"Nasihat saya, adalah lebih baik MUDA turun ke lapangan dan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh semak dan imbang serta membawa isu rakyat secara matang dan konstruktif, daripada terus menangguk di air keruh untuk keuntungan politik sementara," katanya.


Terdahulu laporan media tempatan memetik Ainie Haziqah Shafiee menyifatkan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Kamil Abdul Munim sebagai hipokrit kerana menyasarkan gerakan pertubuhan masyarakat sivil Mandiri berhubung dakwaan dana asing.


Ainie yang juga bekas Ketua Wanita Muda KEADILAN dan rakan seangkatan Kamil dalam sayap pemuda itu, mendakwa KEADILAN sendiri pernah mendapat manfaat daripada latihan asing.


Kamil pada Ahad menggesa pihak berkuasa menyiasat Mandiri berhubung dakwaan menerima pembiayaan asing dalam gerakan politiknya.


Mandiri menafikan sebarang salah laku dan menghantar surat tuntutan peguam kepada Kamil.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page