Kerajaan Negeri mencadangkan beberapa projek pengurusan banjir mega untuk mengatasi masalah banjir daripada terus melanda Selangor pada masa hadapan.
Di antara projek yang dicadangkan adalah usaha mengorek serta mendalamkan Sungai Klang sehingga dua kali ganda saiz sekarang dengan kos RM500 juta.
Hal tersebut dinyatakan oleh Exco Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim dalam sidang Dewan Negeri, semalam.
Katanya, projek tersebut perlu disegerakan kerana ada bahagian Sungai Klang yang berada di kawasan banjir telah amat cetek.
"Ini kita sudah bincang dengan Selangor Maritime Gateway, dan saya akan bawa perkara ini ke Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor untuk diluluskan bagi pelaksanaan segera, dan ia akan dibiayai oleh syarikat berkaitan kerajaan kita sendiri," katanya dipetik.
Izham juga mengutarakan cadangan membina terowong air dari Shah Alam yang akan mengambil air daripada Sungai Damansara untuk dibawa ke Tasik Ladam berhampiran Sungai Rasau, Klang.
Bagi mengelakkan banjir di kawasan hilir, terutama di bandar Klang apabila air laut pasang pula, beliau mencadangkan tempat simpanan air Hybrid off River Augmentation System (HORAS) dan kolam-kolam yang besar di kawasan selatan digunakan bagi menampung air.
"Air ini kemudian akan dirawat bagi digunakan untuk dibekalkan kepada kawasan Pulau Indah yang memang tidak cukup air di sana.
"Itu kaedah penyelesaian holistik dan air yang disimpan juga boleh digunakan ketika musim kemarau," katanya.
Manakala untuk persediaan musim monsun, Izham berkata, kolam-kolam takungan di Selangor akan dikosongkan sebahagian jumlah airnya apabila menjelang monsun atau ketika ramalan hujan lebat bagi membolehkan sejumlah besar air banjir ditakung.
Comments