'Dalam pemilihan bertembung idea, pergeseran itu biasa' - Kamil Munim
- Suara Keadilan
- 7 hours ago
- 1 min read

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim menganggap pertembungan idea dalam Pemilihan KEADILAN 2025 merupakan suatu yang biasa dan tidak perlu diperpanjangkan.
Kamil yang mencetuskan idea penganjuran RAPAT Angkatan Muda Keadilan bagi calon calon pimpinan yang bertanding memperkenalkan diri dan memberikan tawaran berkata, pergeseran idea dalam pertandingan sentiasa mematangkan ahli AMK.
"Dalam pemilihan ini biasalah sikit sikit bertembung idea, pergeseran. Itu lumrah tetapi dia harus ada batasnya.
"Kalau masuk perang, tak boleh elak (berperang). Tetapi apa syarat? Tak boleh bunuh kanak kanak, bunuh wanita, sakiti golongan tua, tak boleh rosakkan tanaman.
"Masuk bertanding seni pertahanan diri pun ada cara dia, ada tunduk hormatnya," katanya di hadapan puluhan calon pimpinan AMK.
Mengenai kem dan cai dalam pemilihan kali ini, Kamil berkata, semua cai adalah cai beliau dan sesiapa yang menang akan bekerja di bawahnya.
"Hari ini kita sediakan ruang, rakan kita yang bertanding, semua peringkat. Walaupun masa diberi itu singkat tetapi sedaya upaya mencari jalan dan ruang bagi pentas sama rata, buat semua. Tidak pilih mana mana kem," katanya lagi.
Kamil juga berharap semangat dan tenaga yang ditunjukkan dalam berkempen pemilihan kali ini perlu diteruskan dalam pilihanraya akan datang yang sudah tidak lama tempohnya.