Dakwah bil hikmah diperkasa, Bukit Bintang bakal dapat Surau Jumaat
- Redzuan Shamsudin

- 6 hours ago
- 2 min read

Usaha memperkukuh pendekatan dakwah secara berhikmah (dakwah secara tidak langsung) terus dipergiat apabila beberapa agensi agama berganding bahu memperluaskan inisiatif dakwah lapangan di sekitar ibu kota, khususnya di kawasan tumpuan orang ramai seperti Bukit Bintang dan Chow Kit.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata beliau menghargai tindakan pantas Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan serta Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam menjayakan usaha dakwah tersebut.
"Saya memberikan idea untuk diadakan Surau Jumaat di Bukit Bintang, dan tanpa berlengah, para pimpinan JPM (Hal Ehwal Agama) terus berusaha sedayanya melaksanakan dengan tangkas dan pantas," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, sejak dua tahun lalu, pelbagai program dakwah lapangan dan kebajikan telah digerakkan di kawasan Bukit Bintang, Chow Kit dan sekitarnya bagi mendekati masyarakat setempat secara lebih inklusif.
Kini, kata beliau, pusat gerakan dikenali sebagai Oasis Outreach Bukit Bintang telah diwujudkan, manakala usaha sedang giat dijalankan untuk menyediakan surau Jumaat yang lebih selesa kepada umat Islam di kawasan itu.
"Jika tiada aral, Bangunan Yayasan Selangor yang terletak di persimpangan utama Bukit Bintang akan dijadikan sebagai surau atau masjid," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa usaha sama akan diperluaskan ke kawasan lain termasuk Chow Kit dengan visi jangka panjang untuk membina masjid yang lebih besar dan lengkap.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pendekatan dakwah yang dibawa Kerajaan MADANI tidak digembar gembur atau memperkecil agama lain, sebaliknya menekankan nilai kasih sayang dan keharmonian tanpa unsur provokasi.
"Tiada hasutan, tiada kebencian, tiada adu domba, kita hanya ingin sebarkan kebaikan, sebarkan kasih sayang dan sebarkan salam," ujarnya lagi.




Comments