top of page

Dakwaan tawaran AS jatuhkan kerajaan perlu disiasat menyeluruh – Afdlin Shauki

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read
Datuk Afdlin (dua dari kanan) membuat laporan polis di Balai Polis Setiawangsa, malam tadi
Datuk Afdlin (dua dari kanan) membuat laporan polis di Balai Polis Setiawangsa, malam tadi

Laporan polis berhubung dakwaan bahawa Kedutaan Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan bagi menjatuhkan Kerajaan Persekutuan Malaysia dibuat susulan dakwaan pemimpin tertinggi Pas.


Terbaharu, Ketua Cabang KEADILAN Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki Aksan, membuat laporan polis dari laporan berita memetik Presiden Pas, Hj Hadi Awang berhubung ucapan penggulungannya pada Muktamar Pas Ke-72 di Kota Bharu, kelmarin.


Menurut Afdlin, dakwaan itu serius kerana menyentuh isu kedaulatan negara, keselamatan nasional, hubungan diplomatik antarabangsa serta integriti sistem demokrasi berparlimen.


"Dakwaan seperti ini adalah amat serius kerana ia melibatkan isu kedaulatan negara, keselamatan nasional, hubungan diplomatik antarabangsa serta integriti sistem demokrasi berparlimen Malaysia.


"Sekiranya dakwaan tersebut benar, ia memerlukan siasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata sekiranya dakwaan itu tidak benar pula, kenyataan sedemikian berpotensi menimbulkan keresahan awam, mengelirukan rakyat serta menjejaskan kepentingan negara.


Sehubungan itu, katanya, laporan polis dibuat bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara profesional, bebas dan menyeluruh terhadap dakwaan berkenaan.


"...termasuk meneliti sama ada terdapat sebarang unsur kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 124B dan 124C Kanun Keseksaan atau mana-mana peruntukan undang-undang lain yang berkaitan," katanya.


Afdlin berkata mana-mana individu yang membuat dakwaan serius mengenai campur tangan kuasa asing dalam urusan politik negara perlu bersedia memberikan keterangan dan mengemukakan bukti kepada pihak berkuasa.


"Kita tidak boleh membiarkan dakwaan sebesar ini berlalu tanpa penelitian sewajarnya kerana ia menyentuh kepentingan negara dan keyakinan rakyat terhadap institusi demokrasi," ujarnya.


Beliau pada masa sama menyeru semua pihak supaya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa dan mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.


"Saya menyeru semua pihak agar menyerahkan perkara ini kepada siasatan pihak berkuasa dan mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan," katanya.


Afdlin berkata siasatan menyeluruh penting bagi menentukan kesahihan dakwaan berkenaan dan memastikan sebarang tindakan, jika wujud kesalahan, diambil berdasarkan fakta serta peruntukan undang-undang yang berkaitan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page