top of page

Dakwaan RM9.5 juta perlu disokong bukti, elak spekulasi — Altimet

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Dakwaan transaksi berjumlah RM9.5 juta yang mengaitkan individu dikenali sebagai “R” perlu disokong dengan bukti kukuh dan disalurkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau Altimet (gambar).


Beliau berkata, laporan media berhubung dakwaan tersebut wajar diteliti secara berhemah kerana ia bersifat umum dan tidak menamakan individu secara jelas.


"Saya dan ramai lagi ahli dalam parti pastinya mengambil maklum berhubung laporan media mengenai dakwaan transaksi berjumlah RM9.5 juta yang mengaitkan individu bernama ‘R’. Seperti yang telah dinyatakan, dakwaan tersebut adalah bersifat umum dan tidak disertakan bukti kukuh," katanya dalam satu kenyataan media.


Menurutnya, setiap tuduhan serius perlu disokong fakta dan dikendalikan melalui saluran yang betul bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.


"Dalam hal ini, saya tegaskan bahawa setiap tuduhan serius perlu disokong dengan fakta dan disalurkan melalui saluran yang betul, termasuk kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut," katanya.


Beliau menegaskan bahawa prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang mesti dipelihara, tanpa melindungi mana-mana pihak yang terbukti bersalah.


"Kita kekal berpegang kepada prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang. Tiada mana-mana individu yang akan dilindungi sekiranya terdapat bukti salah laku dan pada masa yang sama, tiada pihak harus dihukum melalui persepsi atau spekulasi tanpa asas yang sah," katanya.


Sehubungan itu, beliau menggesa mana-mana pihak yang mempunyai bukti agar melaporkannya kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dijalankan secara profesional dan menyeluruh.


Katanya, langkah itu penting untuk mengekalkan keyakinan rakyat serta pelabur terhadap kestabilan politik dan tadbir urus negara.


Dalam pada itu, beliau turut menyeru masyarakat dan pengamal media supaya lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat.


"Penyebaran dakwaan tanpa pengesahan bukan sahaja boleh mengelirukan rakyat, malah berpotensi menjejaskan keharmonian serta reputasi institusi negara," katanya.


Beliau menambah, fokus utama kerajaan ketika ini adalah memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan serta memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara di tengah ketidaktentuan global.


"Saya pasti kerajaan komited untuk memastikan kebenaran ditegakkan dan keadilan dilaksanakan tanpa rasa takut atau pilih kasih," ujarnya lagi.


Untuk rekod, sebelum ini seorang usahawan, Victor Chin Boon Long terpaksa membuat bayaran kepada seseorang yang digelar Mr R dalam keadaan terdesak bagi menghentikan tekanan terhadap individu yang dikaitkan dengannya.


Dakwa Victor, bayaran tersebut adalah ‘yuran perkhidmatan’ yang terpaksa dibuat susulan tindakan agresif kumpulan yang didakwa sebagai ‘mafia korporat’, yang bukan sahaja menyasarkan dirinya, malah turut menekan pihak di sekelilingnya dalam persaingan perniagaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page