Dakwaan Melayu-Islam terancam: Institusi kerajaan bukan mainan - AMK
- Suara Keadilan

- Jan 5
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Segelintir pihak diingatkan bahawa kerajaan yang memerintah bukan mainan politik dan tidak wajar ditukar ganti sesuka hati demi kepentingan individu atau ego tertentu.
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Danish Hairudin (gambar) menegaskan mandat rakyat adalah amanah besar yang perlu dihormati, bukan bahan uji kaji atau alat tawar-menawar kuasa kerana ia melibatkan kestabilan negara.
"Cubaan memainkan sentimen kononnya Melayu dan Islam terancam serta laungan memperjuangkan rakyat hanyalah helah politik murahan bagi melindungi kepentingan elit tertentu.
"Berfikirlah dengan cerdas dan waras. Pilihanraya menelan ratusan juta ringgit wang rakyat, melibatkan jutaan jam kerja penjawat awam serta mengganggu tumpuan negara terhadap agenda pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat," ujarnya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dipercayai mengulas usaha pihak tertentu yang cuba menggoyah kestabilan pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menyeru supaya UMNO keluar dari Kerajaan Perpaduan untuk membentuk kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional.
Sementara itu menurut Danish, rakyat mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan berfungsi dengan baik, sebagaimana yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI bukannya mengulangi episod kerajaan 'tebuk atap' sepanjang 2020 - 2022 lalu.
Tegasnya, Kerajaan MADANI yang dibina atas semangat penyatuan rakyat dan kerangka ekonomi MADANI telah menunjukkan perkembangan positif serta memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
"Pemimpin matang menyelesaikan masalah melalui perbincangan, bukan mencetuskan ketegangan politik. Politik jerit dan ugutan hanya mencerminkan ketandusan idea," katanya.
Beliau menegaskan rakyat pada waktu ini memerlukan penyatuan merentasi bangsa dan agama serta kerja nyata yang memberi manfaat, bukan sandiwara politik murahan.




Comments