Dakwaan kerajaan iktiraf sijil halal AS serta-merta, fitnah - Zafrul
- Suara Keadilan
- Aug 5
- 1 min read

Dakwaan kononnya Malaysia akan serta-merta mengiktiraf sijil halal Amerika Syarikat (AS) adalah fitnah tidak berasas, mengelirukan dan berniat jahat.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (gambar) menegaskan, dakwaan itu tidak mencerminkan fakta sebenar yang telah dipersetujui dalam rundingan antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
"Antara perkara utama yang dipersetujui termasuk membenarkan pengimportan daging, produk daging, unggas dan produk unggas ke Malaysia. Namun, produk itu harus mempunyai sijil halal dari badan pensijilan halal Amerika Syarikat yang mematuhi piawaian dan standard halal yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
"Kerajaan tidak berkompromi dan terus mengekalkan standard halal yang mematuhi syariah bagi memelihara kepentingan pengguna di kalangan umat Islam di Malaysia," kata dipetik di Dewan Rakyat.
Sementara itu menurut beliau, selain isu pensijilan halal, beberapa perkara lain turut dipersetujui dalam rundingan tersebut, termasuk memudahkan proses pensijilan dan pendaftaran fasiliti untuk eksport produk tenusu, daging, produk daging serta unggas dari Amerika Syarikat ke Malaysia mengikut peraturan domestik yang telah ditetapkan.
"Kerajaan bersetuju untuk menerima pelaksanaan kaedah ‘regionalisation’ bagi kawalan penyakit haiwan untuk eksport unggas hidup dan produk unggas dari Amerika Syarikat," katanya.
Sementara itu Zafrul menegaskan komitmen Malaysia untuk menjaga kepentingan pengguna Islam dengan tidak berkompromi dalam soal pensijilan halal, sekaligus menangkis dakwaan yang cuba mempengaruhi keputusan rundingan tersebut.
Kerajaan Malaysia juga komited untuk mempertingkatkan penguatkuasaan isu hak harta intelek, perburuhan, alam sekitar, dan pengurusan perikanan mampan, selaras dengan komitmen negara dalam pertubuhan antarabangsa yang berkaitan.
Comments