Dakwaan Islam makin terpinggir tidak berasas - YADIM
- Azuan Ab Rahman

- 5 hours ago
- 1 min read

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menepis dakwaan bahawa Islam di negara ini semakin terpinggir dan menyifatkannya sebagai tohmahan tidak berasas.
Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr Hasan Bahrom (gambar) berkata, kedudukan syiar Islam sebaliknya terus diperkasakan di bawah Kerajaan MADANI menerusi peningkatan peruntukan, pengukuhan institusi agama, dan pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan.
"Hakikatnya, peruntukan hal ehwal Islam meningkat daripada RM1.9 bilion pada 2024 kepada RM2 bilion (2025) dan RM2.6 bilion bagi tahun 2026. Peningkatan ini meliputi pelbagai keperluan," katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, Hasan berkata kedudukan Islam di Malaysia turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa menerusi penganjuran pelbagai program keagamaan.
Antaranya termasuk Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Antarabangsa serta Sama’ Hadis yang menghimpunkan ulama, ilmuwan dan peserta dari pelbagai negara.
"Ini menunjukkan usaha memperkukuh syiar Islam terus berjalan menerusi pembangunan institusi, pendidikan, pengurusan hal ehwal agama dan program dakwah di dalam serta luar negara," tambahnya
Beliau turut menyifatkan perhatian kerajaan terhadap dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji antara bukti kesungguhan kerajaan memperkukuh tadbir urus dan memelihara amanah umat Islam.
Menerusi kenyataan sama Hasan Bahrom turut berkata, Isu kedudukan Islam dan Melayu sering menjadi perhatian dalam perdebatan politik negara, terutama apabila berlaku perubahan kerajaan atau perbezaan pendekatan dalam pentadbiran.
Justeru masyarakat diseru membudayakan perbezaan pandangan secara matang dengan mengemukakan fakta dan hujah, bukannya menjadikan perbezaan pendapat sebagai ruang untuk menyerang peribadi, menyebarkan fitnah atau mencetuskan perpecahan.
"Dalam konteks itu, YADIM menggesa penilaian terhadap kedudukan Islam dibuat berdasarkan dasar, peruntukan dan pencapaian sebenar, bukan semata-mata persepsi politik," tegasnya.




Comments