Dakwaan ‘derma Arab’ hanya propaganda, aliran dana 1MDB jelas
- Suara Keadilan

- Dec 29, 2025
- 1 min read

Penganalisis politik, Liyana Marzuki membidas usaha berterusan pihak tertentu yang didakwanya cuba mengelirukan rakyat dengan menghidupkan semula naratif kononnya dana yang masuk ke akaun bekas Perdana Menteri Najib Razak adalah derma daripada putera Arab.
Menurut beliau, dakwaan tersebut bercanggah dengan fakta yang telah disahkan di mahkamah, termasuk penemuan bahawa akaun yang dikaitkan dengan nama “Putera Faisal” adalah bersifat meragukan.
"Dalam mahkamah sudah disahkan bahawa akaun ‘Putera Faisal’ itu adalah dubious," katanya dalam muat naik di media sosial.
Liyana menegaskan bahawa bukti aliran wang atau money trail dalam kes 1MDB adalah jelas dan tidak dapat dipatahkan, bermula daripada dana awam sebelum sampai ke akaun peribadi bekas Perdana Menteri itu.
"Bukti aliran wang menunjukkan ia datang daripada dana 1MDB, masuk ke syarikat Good Star milik Jho Low, kemudian ke akaun ‘Putera Faisal’ sebelum akhirnya masuk ke akaun Datuk Seri Najib.
"Inilah namanya penggubahan wang haram, wang memang dipusing pusing sebelum ‘landing’," ujarnya.
Beliau mendakwa bahawa taktik mengelirukan melalui penggunaan nama syarikat yang hampir sama dengan entiti sebenar bukanlah perkara baharu bagi Jho Low yang terlibat dalam urusniaga berkenaan.
"Ingat kepakaran Jho Low. Dia buat company Aabar BVI Ltd bunyi nak sama dengan company terkenal Aabar Invesment PJS.
"Dia buat syarikat Blakcstone Real Estate Partner, untuk orang ingat Blackstone Real Estate yang sebenar," katanya.
Dalam pada itu, Liyana mempersoalkan sikap segelintir pihak yang masih mempertahankan naratif derma Arab walaupun Najib sendiri mengakui telah ditipu oleh Jho Low.
"Datuk Seri Najib sendiri sudah mengaku ditipu Jho Low. Jadi kenapa masih mahu pertahankan cerita derma Arab?" soalnya.
Liyana menyifatkan usaha menyebarkan dakwaan baharu berhubung kes 1MDB sebagai satu bentuk propaganda yang bertujuan mengaburi fakta sebenar kes berkenaan.









Comments