Dakwaan terdapat 13 juta maklumat pengguna daripada Maybank, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Astro bocor diarah siasat oleh Menteri Komunikasi dan Digital secara segera.
Menterinya Fahmi Fadzil berkata, Cybersecurity Malaysia (CSM) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) diminta menjalankan siasatan berhubung dakwaan kebocoran data maklumat berkenaan.
"Saya akan minta CSM, JPDP siasat apakah benar berlaku kebocoran data melibatkan pihak-pihak berkenaan, serta mengambil tindakan berdasarkan undang-undang," katanya dalam kenyataan.
Sebelum itu, beliau berkongsi satu hantaran milik pengguna akaun Facebook dengan nama Pendakwah Teknologi yang mendakwa jutaan maklumat pengguna daripada Maybank, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Astro telah bocor.
Berdasarkan hantaran itu, pada 25 Dis 2022 kira-kira 7.56 malam, sebuah laman web telah menyenaraikan 3.5 juta maklumat pengguna Astro, 1.8 juta pengguna Maybank dan 7.2 juta pengguna SPR.
Maklumat berkenaan didakwa melibatkan nama pengguna, nama penuh pengguna, tarikh lahir, alamat serta nombor kad pengenalan.
Comments