top of page

Daie MADANI lapor polis Nik Zawawi tohmah, persenda sahabat Nabi

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 3 days ago
  • 2 min read
Amir Zuhair dan Daie MADANI membuat laporan polis terhadap Nik Muhammad Zawawi
Amir Zuhair dan Daie MADANI membuat laporan polis terhadap Nik Muhammad Zawawi

Gerakan Daie MADANI hari ini membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh susulan kenyataan pemimpin Pas itu dalam satu ceramah politik baru-baru ini yang didakwa menghina kedudukan para sahabat Rasulullah SAW, termasuk Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Umar Al-Khattab.


Pengerusi Daie MADANI, Amir Zuhair Abdull Khalid berkata, laporan polis itu dibuat atasdasar tanggungjawab sebagai seorang Islam yang mempertahankan maruah dan kemuliaan sahabat Nabi SAW.


"Di sisi Islam, sebagai seorang yang beragama Islam, yang (membawa imej parti berteraskan Islam), membuat tuduhan yang sangat semberono, (adalah sesuatu) yang tidak patut (iaitu) menghina kedudukan para sahabat Nabi (apatah lagi dilakukan) di Malaysia (yang merupakan) sebagai (sebuah) negara Islam.


"Selepas video tersebut (itu) tular, malam tadi beliau (Nik Muhammad Zawawi) membuat keterangan.


"Saya harap keterangan itu (berbentuk) permohonan maaf atau tarik balik (apa yang disebut) atau beliau mendatangkan hujah (pembuktian) terhadap tuduhan beliau itu.


"Malangnya tidak ada apa-apa, malah beliau pula memaafkan orang yang mengkritiknya," katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.


Turut hadir ialah wakil daripada Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan IKRAM Malaysia.


Amir berkata, dalam laporan polis itu, pihaknya menyenaraikan tiga peruntukan undang-undang yang boleh digunakan untuk mendakwa Nik Muhammad Zawawi antaranya Seksyen 298 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyebut perkataan dengan niat disengajakan untuk melukakan perasaan agama orang lain.


Selain itu, beliau berkata, tindakan tersebut turut boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian untuk menyebarkan komunikasi palsu, jelik atau menghina, serta Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 atas kesalahan mengeluarkan atau menerbitkan kata-kata yang mempunyai kecenderungan menghasut sehingga menimbulkan perasaan permusuhan atau kebencian atas dasar agama.


Terbaharu, Nik Muhammad Zawawi yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, dilaporkan telah memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau yang mengaitkan sahabat Nabi Muhammad SAW dengan istilah 'bapa ceti' dan 'kaki zina' ketika menyampaikan ceramah baru-baru ini.


Beliau mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat dan penyampaian sehingga mencetuskan kontroversi dan menyinggung perasaan pelbagai pihak.


Nik Muhammad Zawawi berkata, ceramah beliau di Kuala Terengganu itu sama sekali tidak berniat untuk menjatuhkan maruah atau menghina insan terpilih yang dimuliakan Allah SWT.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page