Curi data: Perancangan ICT, privasi pengguna terpelihara - MCMC
- Suara Keadilan
- Jun 8
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan bahawa tiada maklumat peribadi pengguna (PII) diakses, diproses atau didedahkan atau dalam kata mudah 'curi data' susulan arahan pengumpulan data pergerakan telefon bimbit (MPD) daripada pengendali rangkaian mudah alih (MNO).
MCMC dalam satu kenyataan menjelaskan, data yang dikumpul telah dianonimkan sepenuhnya dan digunakan secara ketat bagi tujuan menghasilkan statistik rasmi untuk sektor ICT dan pelancongan.
"Data MPD yang diminta daripada MNO adalah tanpa nama dan tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi.
"Antara kegunaan utama data MPD adalah untuk mengenal pasti bilangan langganan jalur lebar mudah alih yang aktif, kadar penembusan internet di peringkat negeri, daerah, parlimen dan DUN, serta corak perjalanan pelancongan domestik," kata kenyataan itu.
MCMC menjelaskan, syarikat telekomunikasi diberi dua pilihan, sama ada memproses sendiri data tersebut dalam persekitaran yang selamat dan menyerahkan hasil analisis secara agregat atau menghantar data yang telah dianonimkan kepada MCMC untuk pemprosesan lanjut.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai menjawab kebimbangan dan tohmahan tidak berasas yang dibangkitkan pembangkang mengenai risiko privasi dalam penggunaan MPD.
MCMC turut menjelaskan bahawa inisiatif ini adalah sebahagian daripada pendekatan strategik kerajaan untuk memperkukuh dasar berasaskan bukti serta mempercepatkan proses perancangan dengan statistik yang lebih tepat dan real-time.
Kerjasama ini turut melibatkan agensi antarabangsa seperti Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan Jawatankuasa Pakar PBB berkaitan Data Besar dan Sains Data.
"Malaysia tidak bersendirian, negara seperti Indonesia dan Brazil turut melaksanakan pendekatan sama, dengan memastikan privasi pengguna tetap dilindungi sepenuhnya," kata kenyataan itu lagi.
Tambah MCMC, sesi libat urus dengan pengendali telekomunikasi seperti CelcomDigi, Maxis, TM Tech, U Mobile dan YTL telah diadakan sejak dua tahun lalu bagi memastikan proses pengumpulan data ini telus dan bertanggungjawab.
Untuk rekod, pembangkang pada waktu ini cuba mengelirukan pengguna kononnya kerajaan membenarkan 'curi data' pengguna telefon mudah alih.
Sedangkan pengumpulan data yang dilakukan bukan untuk menjejak individu; tiada nama atau nombor kad pengenalan terlibat. Manakala data dikumpul oleh telco, bukannya kerajaan.
Comentarios