top of page

"Cukup-cukuplah bersengketa atas sebab agama" - Sultan Selangor



Sultan Selangor menitahkan umat Islam menghentikan sengketa atas sebab agama hingga menyebabkan berlakunya permusuhan, salah faham dan kekeliruan.


Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah sekarang tiba masanya untuk umat Islam bersatu padu demi kekuatan bagi membolehkan mereka dihormati termasuk dalam kalangan masyarakat bukan Islam.


"Umat Islam sedia maklum bahawa isu-isu agama sering dipolitikkan sejak beberapa dekad yang lalu malah semakin serius sejak kebelakangan ini.


"Akibatnya berlaku permusuhan, salah faham serta kekeliruan di kalangan umat Islam. Cukup-cukuplah kita bersengketa atas sebab agama. Telah tiba masanya umat Islam semua bersatu demi kekuatan umat Islam.


"Apabila umat Islam kuat dan bersatu-padu, masyarakat bukan agama Islam akan menghormati umat Islam," titah baginda dipetik dari Facebook Selangor Royal Office hari ini.


Baginda bertitah demikian sempena mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) ke-71 yang dipengerusikan oleh baginda di Putrajaya hari ini.


Sultan Sharafuddin juga mengulangi titah baginda agar pentadbiran agama Islam di negara ini perlulah dari pengaruh politik kepartian dan amalan mempolitikkan setiap urusan agama.


"Teguran beta ini tidak dimaksudkan kepada mana-mana pihak malah beta mengingatkan kepada semua ahli-ahli politik agar jangan mengambil kesempatan untuk mempolitikkan setiap isu yang melibatkan agama Islam sehingga ia menjadi modal kepada persengketaan politik yang tiada berkesudahan.


"Isu agama adalah sesuatu yang boleh menjadi sensitif kepada umat Islam, oleh itu elakkanlah dari tuduh-menuduh antara satu sama lain atas isu agama yang pada asasnya boleh kita selesaikan secara bersama," titah baginda.


Sultan Selangor juga berharap amalan melantik Menteri Agama dalam kalangan bukan ahli politik yang dilaksanakan sekarang dapat diteruskan demi memastikan isu-isu berkaitan hal ehwal agama Islam tidak dijadikan sebagai bahan politik.


Titah baginda pendekatan itu membolehkan tumpuan sepenuhnya dapat diberikan Menteri Agama bagi menyelesaikan pelbagai isu melibatkan umat Islam.


"Beta menyarankan juga kelayakan akademik berasaskan ijazah Pendidikan Islam perlu dijadikan sebagai kriteria utama di dalam melantik seorang Menteri Agama," titah baginda.


Sultan Selangor juga menyeru umat Islam di negara ini agar terus memperkukuhkan komitmen terhadap perpaduan dan ukhuwah yang selama ini menjadi teras kepada kemajuan negara.


"Sesungguhnya akar persaudaraan yang kukuh dalam kalangan masyarakat Islam mampu menjana kejayaan dan kecemerlangan kepada kemakmuran serta kedaulatan negara keseluruhannya.


"Berdasarkan hasrat itulah, perselisihan dan pertikaian yang muncul dalam kalangan masyarakat berkaitan apa-apa isu sekalipun perlu diurus dengan penuh tertib, ketinggian hikmah serta bersikap adil kepada semua pihak," titah baginda sambil berharap umat Islam sentiasa melihat dan memandang tinggi kepada para alim ulama dan sentiasa mengharapkan sesuatu ketetapan berkaitan sesuatu hukum itu dapat disepakati oleh semua.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page