top of page

#CucukMyPress: Tetapkan satu PPV satu negeri untuk vaksinasi petugas media


Kempen #CucukMyPress yang dijalankan oleh para petugas media membayangkan ketidakpuasan hati para barisan hadapan tersebut menghadapi kelewatan kerajaan Perikatan Nasional memberi suntikan vaksin kepada mereka sebagaimana dijanjikan.


Menurut Jurucakap KEADILAN bagi Komunikasi, Seni dan Budaya, Fahmi Fadzil, pengamal media tidak wajar dianak tirikan ketika barisan hadapan lain telah pun menerima vaksin untuk melindungi diri mereka daripada terdedah kepada virus Covid 19 ketika menjalankan tugas.


"Saya terima baik pemberian vaksin kepada pengamal media yang bermula 9 Jun. Walau bagaimanapun, jumlah 100 dari 5,000 pengamal media masih terlalu kecil dan lambat.


"Saya juga mengambil maklum kenyataan badan-badan pengamal media termasuk Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) dan Gerakan Media Marah (Geramm), yang umumnya menggesa proses ini dipercepat.


"Saya sebenarnya amat terkesan apabila warga media terpaksa meluahkan perasaan mereka dengan menggunakan tanda pagar #CucukMyPress untuk mendapat layanan segera dari Kerajaan.


"Pengamal media tidak patut dianak tiri. Mereka adalah sebahagian dari barisan hadapan - merekalah pasukan yang berada di lapangan, merakam dan melaporkan segala berita setiap hari dalam usaha kita membendung penularan wabak Covid-19 dan mencapai imuniti kelompok," katanya dalam kenyataan hari ini.


Bagi Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, petugas media menghadapi risiko besar apabila meninggalkan rumah dengan tidak dilindungi vaksin.


Katanya, selain mereka boleh dijangkiti virus Covid mereka juga berpotensi menjadi pembawa dan menjangkitinya kepada keluarga terdekat.


"Sepatutnya proses vaksinasi bagi kumpulan media bermula Fasa 1 pada 24 Februari ke 18 April bersama kumpulan barisan hadapan yang lain. Saya kesal akan kegagalan Kerajaan dalam hal ini.


"Sebagai seorang Ahli Parlimen, saya menggesa Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk memberi penjelasan mengapa pengamal media tidak termasuk dalam senarai Fasa 1 pemberian vaksin.


"Saya juga menggesa CITF untuk memberi jaminan semua organisasi media akan diberi layanan segera yang sama, serta dipastikan pemberian vaksin di kalangan petugas media. Jangan ada di mana hanya sesetengah media sahaja yang menerima vaksin, manakala ada media lain yang langsung belum menerima," katanya.


Sehubungan itu, Pengarah Komunikasi KEADILAN itu menggesa agar Menteri Komunikasi dan Multimedia memberi penjelasan bilakah tarikh yang tepat kesemua 5,000 petugas media yang telah mendaftar akan menerima vaksin.


"Seharusnya beliau lebih tegas dan pantas dalam hal ini, namun beliau jelas telah gagal.


"Sebagai penyelesaian segera, saya cadang agar satu Pusat Penerimaan Vaksin di setiap negeri dikhususkan untuk memberi vaksin kepada petugas media yang berdaftar di negeri itu. Dengan cara ini, kesemua 5,000 petugas media boleh diberi vaksin dalam masa sehari," katanya lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page