top of page

'Cubaan sabotaj gagal, PADU makin padu'

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Mar 13, 2024
  • 2 min read


Oleh: Noraini Nordin


ULASAN BERITA: Walaupun menerima kritikan panas yang bagaikan 'kilat' sambung menyambung Pasukan Pembangunan Pangkalan Data Utama (PADU) terus gigih melaksanakan amanah rakyat.


Cubaan demi cubaan mensabotaj atau memboikot PADU juga gagal.


Bukan 'kaleng-kaleng' dugaan yang diharungi oleh pasukan PADU sejak ia dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu.


Terkini berita baiknya, selain daripada semakin diterima oleh rakyat pasukan PADU juga telah berjaya mengekang berjuta cubaan menceroboh sistem berkenaan.


Ketrampilan penjawat awam bangunkan sistem


Kita sedia maklum PADU dibina dan diselenggarakan oleh seratus peratus penjawat awam.


Selain dapat menjimatkan ratusan juta dana kerajaan, data peribadi rakyat yang bersifat rahsia ini dijaga sepenuhnya oleh penjawat awam yang tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972.


Hasil keputusan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli supaya PADU dibina oleh penjawat awam, tiada pihak ketiga mempunyai akses kepada data-data rahsia tersebut sebagaimana dispekulasikan oleh pihak yang merendah rendahkan sistem berkenaan.


Oleh itu di saat PADU semakin mendapat perhatian rakyat, si antargonis yang anti Kerajaan Madani terus mendendangkan momokan-momokan memburukkan pangkalan data itu.


Sudah menjadi sifatnya si antargonis lebih suka membutakan rakyat daripada mencelikkan mereka supaya mudah diperbodohkan.


Perlulah disedari bahawa polemik politik yang meleret-leret ini tidak ada faedahnya kepada rakyat.


Polemik hanya semata-mata agenda mereka yang anti Kerajaan Madani untuk memesongkan pemikiran. Rakyat yang lalai akan terus terbuai sehingga lupa untuk memajukan diri, menikmati peluang-peluang yang ditawarkan oleh kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup di bawah inisiatif Kerajaan Madani.


Rakyat bijak mendaftar PADU


Rakyat yang bijak berlumba-lumba untuk mendaftar PADU manakala rakyat yang keliru terus 'membatukan' diri lantaran terpengaruh dengan cerita cerita palsu.


Untuk rekod, sejak PADU dilancarkan oleh PM sebagaimana dilaporkan secara rasmi, lebih tiga juta individu telah pun mendaftar.


Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dipetik sebagai berkata, sejak 2 Januari lalu, Sarawak, Selangor, Johor, Perlis dan Kelantan telah merekodkan jumlah pendaftaran tertinggi.


"Di Kelantan seramai 191,078 atau 15 peratus penduduknya telah mendaftar dengan PADU.


"Selain itu pendaftaran tinggi turut direkodkan di Johor, 270,000 orang dan lebih 100,000 di Perlis.


"Sarawak dan Selangor juga merekodkan jumlah pendaftaran yang tinggi," katanya selepas mengadakan tinjauan proses pendaftaran PADU di Pusat Ekonomi Digital (PEDI) Mahligai di Bachok, Kelantan baru-baru ini.


Terus galakan rakyat untuk mendaftar


PADU yang telah dilancarkan Anwar sebagai pangkalan data komprehensif yang mengandungi data mikro ini diintegrasikan daripada pelbagai sumber agensi kerajaan.


Sistem itu dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, DOSM dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan kerjasama dan sokongan pelbagai kementerian, agensi serta kerajaan negeri.


Berdasarkan sambutan yang diterima setakat ini, menunjukkan pengenalan sistem PADU ini semakin menarik perhatian rakyat.


Selepas ini, ditambah dengan pihak berkaitan lebih kerap turun padang ke seluruh negara memberi lebih penjelasan, diyakini semakin ramai akan mendaftar nama mereka dalam PADU.


Pentingnya program 'turun padang' itu dilakukan ialah kerana bukan semua orang ada kemudahan dan faham untuk mendaftar, terutama golongan warga emas serta mereka yang tinggal di pedalaman dan sebab itu mereka perlu diberikan bantuan


Tahniah pasukan PADU. Semoga bertambah padu demi Malaysia Madani tercinta.

________________________________________________________________________________

Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page