Cubaan isytihar darurat menunjukkan Anwar cukup sokongan - Abdullah Sani



Cubaan Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytihar darurat ke seluruh negara menunjukkan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai cukup sokongan untuk mengambilalih kuasa.


Bagi Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, tohmahan yang berlegar di media masa arus perdana dan dari pemimpin Perikatan Nasional sebelum ini kononnya Anwar hanya bercakap kosong atau bermimpi di siang hari, sekarang memakan diri mereka sendiri.


Faktor yang menyelamatkan Muhyiddin hanyalah pandemik Covid 19 dan nasihat Yang di-Pertuan Agong agar ahli politik mengutamakan rakyat berbanding perubahan kerajaan.


"Datuk Seri Anwar umum dia ada nombor Ahli Parlimen yang menyokongnya dan secara automatik Muhyiddin tak ada nombor. Pengisytiharan darurat ini dilakukan untuk mengekalkan kuasa dia dan seluruh kabinetnya.


"Keputusan jelas, ia memihak sokongan kepada Anwar Ibrahim. Jadi tidak ada keperluan untuk dia (Muhyiddin) kekalkan jawatan Perdana Menteri. Bagi saya, ini dalam sejarah di mana Perdana Menteri tidak mendapat sokongan dan dokongan daripada Ahli Parlimen (kerajaan)," katanya.


Selain itu, kata Abdullah, tindakan tergopoh-gapah Muhyiddin mencadangkan kepada Agong supaya bersetuju melaksanakan darurat menyebabkan beliau sekelip mata menjadi tidak popular dalam kalangan rakyat.


Katanya, Muhyiddin yang sebelum ini digelar 'Abah' dan disanjungi dalam perang melawan Covid, sebaliknya dikritik majoriti rakyat kerana cuba menyulitkan lagi kehidupan mereka.


"Abah itu hanya untuk promosi watak sahaja tetapi perlakuan dalam mentadbir itu penting. Watak itu dicipta supaya dapat memberi pembelaan kepada rakyat, tarik pelabur asing dan sebagainya.


"Tetapi 'Abah' ini sebenarnya mempamerkan kelemahan beliau mentadbir negara," ujarnya.


Apa pun, Abdullah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana bertindak bijak memanggil sidang Majlis Raja-raja dan menolak cadangan darurat.


Sekiranya darurat berlaku, katanya maka keadaan negara akan menjadi lebih buruk dan ekonomi tidak akan pulih untuk jangka masa yang panjang.


"Kalau itu (darurat) berlaku ekonomi negara jadi parah dan rakyat dalam keadaan derita serta pengangguran akan berlaku secara berleluasa.


"Apa yang dicadangkan itu memberi kekuatan kuasa kepada Muhyiddin tetapi memberi kesan buruk pada rakyat dan negara. Saya rasa cubaan ini hanya memperlihatkan kepimpinan Muhyiddin terlalu lemah dan rapuh," katanya.





0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio