Jangkitan harian Covid 19 yang tinggi melebihi 10,000 kes dan mungkin berlanjutan sehingga akhir bulan boleh sahaja digunakan sebagai alasan oleh kerajaan untuk menangguhkan sidang Parlimen pada 26 Julai ini.
Hal itu dibangkitkan oleh Senator Ismail Yusof dalam siaran langsung Facebook, malam tadi.
Katanya, jangkitan yang telah melewati angka keseluruhan 800,000 kes menjadi dalih ampun bagi menangguhkan sebarang majlis rasmi.
"Kerajaan Mahiaddin Yassin mungkin punya alasan kukuh untuk menaggguhkan sidang Parlimen yang akan diadakan dalam beberapa hari ini.
"Apatah lagi sampai hari ini Ahli-ahli Parlimen kita di Dewan Rakyat juga Dewan Negara semuanya belum dapat kenyataan (jemputan) secara rasmi untuk menghadiri sidang Parlimen yang dikatakan akan dibuka pada masa yang terdekat," katanya.
Menurut beliau lagi, jika keputusan menangguhkan sidang itu dibuat maka akan ada pula ahli akademik serta pakar undang-undang yang mewajarkan tindakan sedemikian, biar pun bertentangan dengan amalan negara demokrasi dan titah Yang di-Pertuan Agong.
"Percayalah apabila kerajaan membuat keputusan untuk menangguhkan sidang walaupun titah Yang di-Pertuan Agong sudah tiga kali dikeluarkan agar Parlimen segera bersidang untuk membincangkan hal Covid 19, masalah ekonomi negara dan rakyat.
"Maka akan ada pula profesor maha dewa dan kayangan yang akan memberikan hujah mereka untuk mewajarkan tindakan kerajaan gagal ini," katanya sinis.
Sidang Parlimen dijadual bermula pada 26 Julai ini dengan dimulai mesyuarat khas Dewan Rakyat sehingga 2 Ogos. Selepas itu sidang Dewan Negara akan dimulakan selama 3 hari.
Comments