Covid 19: Kerajaan Selangor ambil langkah berjaga-jaga



Selangor dikategorikan sebagai negeri yang pantas merebak jangkitan wabak Covid 10 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Sehubungan itu, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beberapa langkah telah diputuskan dalam usaha Kerajaan Negeri mengawal menularan wabak berkenaan.


"Di Selangor, jumlah kes harian telah mencapai angka dua digit untuk lima hari berturut-turut.


"Namun Kerajaan Negeri percaya, dengan langkah-langkah yang sesuai, kita akan berjaya mengawal keadaan ini daripada bertambah buruk.


"Oleh itu, saya telah mempengerusikan secara dalam talian Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor (MKN) dan Mesyuarat Pasukan Petugas COVID-19 Selangor (STFC) bagi mendapatkan gambaran yang jelas serta merangka pendekatan yang terbaik sebagai persediaan menghadapi gelombang ketiga penularan wabak ini," katanya dalam satu kenyataan.


Beberapa keketapan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa tersebut. Antaranya, melanjutkan waktu beroperasi Bilik Gerakan COVID-19 berpusat di Bilik Gerakan MTES, Bangunan SSAAS sehingga jam 7 malam bagi membolehkan Kerajaan Negeri membuat pantauan serta meneliti perkembangan terkini Covid-19.


Kerajaan Negeri juga akan membantu KKM dengan mengadakan saringan bersasar (targeted screening) secara percuma kepada semua rakyat Selangor yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah antara 20 hingga 26 September 2020 ke Sabah. Saringan dilakukan di semua cawangan Selcare Clinic milik anak syarikat Kerajaan Negeri, Selgate Healthcare Sdn Bhd


Selain itu, menurut Amiruddin, Kerajaan Negeri juga mengekalkan larangan kepada semua jenis kelab malam dan bar daripada beroperasi. Restoran berkonsepkan bar di seluruh negeri juga dihadkan operasi sehingga 11.00 malam berkuatkuasa Sabtu, 3 Oktober 2020.


"Kerajaan Negeri turut mengambil langkah segera dengan menambahbaik SELangkah.


"Iaitu dengan Ciri 'Peta & Semakan Premis' yang membolehkan rakyat mendapat maklumat berkenaan premis-premis yang telah dilaporkan terdedah kepada Covid-19


"Juga Ciri 'Semakan kendiri' di mana pengguna boleh membuat semakan silang (cross check) sama ada pengguna telah mengunjungi premis-premis yang berisiko dalam tempoh inkubasi," katanya lagi.


Amiruddin juga menegaskan Selangor akan mewujudkan empat Pusat Tahanan Sementara Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di beberapa lokasi yang bersesuaian bagi mengurangkan risiko kepada petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan.


Selangor, katanya, akan menghadkan persidangan secara beramai-ramai dan menggalakkan masyarakat untuk sentiasa mengikut Tatacara Operasi Piawai (SOP) apabila berada di kawasan yang melibatkan ramai orang.


"Sayugia diingat Selangor pernah mencatatkan nilai kes yang tinggi semasa awal pandemik ini, namun kita berjaya mengawalnya. Ini membuktikan bahawa kaedah kita sebelum ini adalah berkesan sekiranya ia disokong penuh oleh masyarakat.


"Justeru, rakyat diseru agar terus mematuhi SOP dan mengamalkan 3W (Wash, Wear dan Warn) serta mengelakkan 3S (Sempit, Sesak dan Sembang Jarak Dekat).


"Penyertaan kita semua adalah kunci kepada kejayaan terdahulu, dan Kerajaan Negeri berharap agar kita dapat mengulangi semula kejayaan yang sama, Insya-Allah," katanya.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio