
Maulidur rasul tahun ini harus diambil kesempatan oleh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam untuk bermuhasabah akan ajaran Islam sebenar yang dibawa junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Hal itu diungkapkan dalam perutusan maulidur rasul Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Katanya, tanggal 12 Rabi’ al-Awwal yang merupakan detik umat Islam mengenang keputeraan dan menelusuri perjuangan Nabi Muhammad s.a.w seharusnya merobah sikap dan keperibadian individu muslim agar menjadi lebih sempurna.
"Sesungguhnya keperibadian dan ketokohan baginda merupakan rahmat serta suri tauladan buat umat manusia sekaliannya.
"Sebagai penutup kepada para anbiya', junjungan Baginda Ar Rasul s.a.w meneruskan kesinambungan tradisi Nabawi dengan mesej penting agar kita sentiasa beriltizam memperjuangkan kebenaran dan keadilan, serta membanteras segala bentuk kejahilan dan kezaliman.
"Rahmat agung yang dibawa oleh Baginda ialah dengan mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada benderang cahaya, dan daripada perhambaan manusiawi kepada kebebasan hakiki," katanya.
Pengerusi Pakatan Harapan itu juga mengingatkan agar pejuang kebenaran menjaga akhlak dan mengutamakan politik nilai di tengah tengah fitnah politik dahsyat kebelakangan ini.
"Justeru mesej pengutusan Ar Rasul s.a.w bagi menyempurnakan akhlak al karimah dan sahsiah insaniah, adalah ingatan buat umat untuk melawan segala kebobrokan akhlak dan penyelewengan nilai politik yang semakin menggila dewasa ini.
"Semoga kita dikurniakan hidayah dan kekuatan untuk sentiasa meneladani keperibadian dan perjuangan baginda Nabi Muhammad s.a.w," katanya lagi.