Cita Sempurna vs Cita Bencana: Apa Erti Himpunan Tanpa Hujah?
- Suara Keadilan

- Jul 27
- 3 min read

Oleh: Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin
ULASAN: Sejak merdeka, sejarah negara kita kaya dengan gerakan rakyat yang membawa makna dan tujuan. Dari laungan merdeka di ambang 1957, ke api Reformasi 1998, dan perjuangan menuntut pilihanraya yang bersih dan adil — semua itu lahir dari cita-cita yang besar, berpaksikan prinsip, disandarkan kepada hujah dan harapan.
Namun, hari ini kita menyaksikan satu fenomena yang menyimpang daripada tradisi mulia itu. Himpunan dan protes muncul bukan kerana fakta atau kejujuran terhadap kebenaran, tetapi kerana kekecewaan politik dan rasa terpinggir. Laungan “Turun Anwar” bergema di jalanan dan media sosial, namun apa sebenarnya asas yang ingin dikemukakan?
Apakah bantuan RM100 kepada rakyat dewasa hasil penjimatan fiskal itu satu dosa ekonomi? Apakah penurunan harga RON95 untuk warganegara satu pengkhianatan dasar? Apakah reformasi subsidi secara bersasar kini dilihat sebagai langkah mundur hanya kerana ia tidak menuruti selera politik pihak tertentu?
Jika ini dijadikan alasan untuk menggugat kestabilan, maka kita sedang berhadapan bukan dengan cita sempurna — tetapi cita bencana.
Cita sempurna dan cita bencana: Pandangan Syed Hussein Alatas
Profesor Syed Hussein Alatas, tokoh intelektual besar tanah air, pernah mengungkap perbezaan antara pemimpin yang dipandu oleh cita sempurna dan yang hanyut dalam cita bencana. Bagi beliau, pemimpin yang ideal ialah yang dipandu oleh prinsip moral dan akhlak tinggi, berusaha membina dan memperbaiki keadaan rakyat dan negara.

Sebaliknya, pemimpin yang jadong — istilah yang dicipta beliau untuk merujuk kepada pemimpin yang jahat, bodoh dan sombong — digerakkan oleh cita bencana. Mereka hanya mahu berkuasa, memperalatkan rakyat tanpa idea yang membina. Dalam pemikiran Alatas, tiada reformasi struktur yang akan berhasil jika tidak disertai dengan akhlak dan kesusilaan dalam kepemimpinan.
Cita sempurna berteraskan nilai. Cita bencana pula berpaksikan nafsu.
Kerajaan Madani dan akauntabiliti berasaskan hujah
Kerajaan Madani yang ada hari ini mewarisi negara dalam keadaan ekonomi yang rapuh. Hutang negara mencecah RM1.5 trilion, subsidi tidak bersasar menelan puluhan bilion ringgit setiap tahun, dan ekonomi masih bergelut dengan kesan pasca pandemik.
Namun dalam masa dua tahun setengah, kerajaan telah melakar beberapa pencapaian penting:
• Defisit fiskal dikurangkan daripada 5.5% (2022) kepada 4.1% (2024)
• Subsidi disasar semula bermula dengan elektrik, diesel dan kini RON95
• Bantuan bersasar seperti STR dan SARA diteruskan, melibatkan lebih RM15 bilion
• Gaji minimum dinaikkan kepada RM1,700
• Peruntukan kesihatan dan pendidikan ditingkatkan
Semua ini bukan sekadar dasar, tetapi manifestasi tanggungjawab. Ia bukan keputusan untuk populariti jangka pendek, tetapi pelaburan untuk masa depan yang mapan.
Ekonomi global tidak menunggu retorik kosong
Kita hidup dalam dunia yang penuh ketidaktentuan — inflasi global, konflik geopolitik, perubahan iklim, krisis makanan. Negara tidak boleh berdiam diri.
Bantuan RM100 kepada rakyat dewasa mungkin kecil bagi sesetengah orang, tetapi bagi ramai ia membawa kelegaan dalam saat mencabar. Ini bukan tindakan populis, tetapi campur tangan berhemah oleh kerajaan yang memahami denyut nadi rakyat.
Zaman berbelanja tanpa penanggungjawaban berlalu
Kita tidak boleh kembali ke era kerajaan yang berbelanja sesuka hati, membina projek mega yang gagal, dan membiarkan subsidi bocor serta ketirisan bermaharajalela. Kini apabila kerajaan memperkenalkan reformasi berasaskan fiskal yang berhemat, ia pula dituduh sebagai populis.
Inilah hakikat hipokrasi politik. Siapa sebenarnya yang lebih bertanggungjawab? Mereka yang merancang dan mengurus berdasarkan angka yang realistik? Atau mereka yang berhutang demi mengekalkan kuasa?
Reformasi fiskal tanggungjawab moral
Dalam kerangka ekonomi Islam, kita kenal prinsip hisbah – akauntabiliti, amanah dan ketelusan. Reformasi fiskal adalah jihad pentadbiran. Ia menuntut kesabaran, disiplin, dan ketegasan.
Ia bukan dasar yang mendatangkan sorakan di jalanan, tetapi ia meninggalkan warisan yang kukuh kepada generasi akan datang. Inilah erti cita sempurna yang dimaksudkan oleh Prof. Syed Hussein — perubahan yang berakar pada nilai, bukan sekadar bentuk.
Suara rakyat amanah, bukan alat politik
Kerajaan Madani tidak menutup ruang perbezaan. Kritikan itu wajib dalam demokrasi. Tetapi ia mesti berasaskan hujah, bukan sekadar jeritan kosong.
Himpunan yang tidak membawa gagasan hanyalah gema kekecewaan. Ia bukan suara rakyat, tetapi bayang-bayang kelesuan idea. Kerajaan ini mungkin tidak sempurna, tetapi ia berusaha menyusun semula sistem, membetulkan struktur, dan menyiapkan negara untuk masa depan.
Pilih hikmah bukan hasutan
Malaysia memerlukan rakyat yang dipandu akal, bukan amarah. Kita tidak perlu menjerit di jalanan jika kita boleh berhujah di Parlimen. Malangnya, ada pihak yang sudah lama kehilangan ruang dan pengaruh dalam sistem, lalu memilih jalanan sebagai pentas propaganda.
Soalnya bukan siapa paling lantang, tetapi siapa paling jujur. Bukan siapa paling berani membuat provokasi, tetapi siapa paling bersungguh membawa penyelesaian.
Masa depan kita tentukan
Kerajaan akan terus melangkah — bukan kerana mahu dipuji, tetapi kerana itu yang benar. Kita perlu menolak cita bencana yang lahir dari amarah dan kepalsuan, dan menyambut cita sempurna yang dibina dengan ilmu, akhlak dan integriti.
Seperti yang ditegaskan oleh Syed Hussein Alatas, kemajuan sebenar bukan hanya perubahan dasar — tetapi perubahan watak dan jiwa kepimpinan. Dan cita sempurna inilah yang perlu menjadi pedoman kita semua — demi Malaysia yang lebih adil, lebih matang, dan lebih bermaruah.
Penulis merupakan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri









Comments