top of page

Ciplak: Manifesto PH lalui proses libat urus, berasaskan keperluan rakyat

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 6 hours ago
  • 2 min read

Dakwaan bahawa manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diciplak daripada pihak lain amat tidak wajar.


Menurut Naib Presiden KEADILAN, Roland Engan (gambar), manifesto berkenaan dibangunkan berdasarkan kajian serta proses libat urus bersama rakyat.


Katanya, persamaan beberapa isu yang diketengahkan dalam manifesto parti-parti politik adalah sesuatu yang lumrah kerana hal itu berkait rapat dengan masalah sebenar yang dihadapi rakyat.


"Manifesto PH dibina melalui proses libat urus yang mendalam, kajian keperluan rakyat, dan maklum balas daripada pelbagai lapisan masyarakat di Johor.


"Apabila sesuatu manifesto itu lahir daripada keperluan rakyat, adalah perkara biasa jika fokus isu yang diketengahkan adalah sama dengan pihak lain seperti kos sara hidup, pembangunan ekonomi atau kemudahan infrastruktur. Ini bukan bermakna ia ‘ciplak’, tetapi mencerminkan semua parti memahami masalah sebenar rakyat," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, manifesto PH juga merupakan kesinambungan kepada komitmen yang telah diperjuangkan sebelum ini, sekali gus membuktikan kesungguhan gabungan itu dalam melaksanakan dasar yang ditawarkan.


"Manifesto PH bukanlah dokumen yang muncul secara tiba-tiba. Kebanyakan tawaran yang dikemukakan merupakan kesinambungan daripada komitmen yang pernah ditawarkan dan diperjuangkan sebelum ini.


"Konsistensi dalam menawarkan dasar yang sama membuktikan PH serius untuk melaksanakannya, berbanding menukar-nukar janji setiap kali pilihan raya tiba," katanya.


Roland berkata, perbezaan utama antara manifesto bukan terletak pada bentuk tawaran, sebaliknya mekanisme pelaksanaan yang akan digunakan.


"Nilai tambah yang dibawa oleh PH terletak pada beberapa aspek yang prinsip utamanya ialah tatakelola baik bagi memastikan dana sampai kepada rakyat. Kecekapan memastikan pelaksanaan projek tidak terbeban dengan ketirisan atau rasuah dan keutamaan yang fkus kepada kumpulan sasar yang paling memerlukan," katanya.


Beliau turut menyifatkan tuduhan plagiarisme manifesto sebagai retorik politik yang mengalihkan perhatian daripada perbahasan mengenai dasar dan penyelesaian kepada masalah rakyat.


"Daripada berbalah tentang siapa yang menciplak siapa, pihak lawan sepatutnya lebih fokus untuk membuktikan bagaimana manifesto mereka sendiri mampu memberikan manfaat yang lebih baik atau lebih mampan kepada rakyat Johor.


"Manifesto adalah tawaran komitmen kepada rakyat. Jika sesebuah parti ingin memperlekehkan manifesto lawan, mereka sebenarnya sedang memperlekehkan keperluan rakyat itu sendiri yang menjadi tunjang kepada manifesto tersebut," katanya.


Tegas Roland, PH harus kekal fokus kepada naratif 'Kesejahteraan Rakyat" dan membuktikan bahawa tawaran mereka mempunyai mekanisme pelaksanaan yang lebih realistik dan berintegriti.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page