Cip AI: Malaysia neutral, boleh guna produk China atau AS
- Suara Keadilan

- 8 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Malaysia mengambil pendekatan neutral dan inklusif dalam akses cip kecerdasan buatan (AI), membolehkan syarikat tempatan memilih sama ada menggunakan cip dari Amerika Syarikat (AS) atau China.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan mahu mengukuhkan akses kepada cip tersebut kerana Malaysia mengamalkan konsep ekonomi yang terbuka.
"Jadi, kita mahu kedua-dua syarikat daripada semua negara hadir. Contohnya kita nak ada dua dapur. Siapa nak menggunakan dapur AS, mereka boleh guna akses kepada cip dari AS.
"Mungkin ada yang sensitif tidak mahu menggunakan cip dari AS, mereka boleh menggunakan cip dari China dan pada masa sama, syarikat-syarikat tempatan kita diberi peluang untuk akses kepada kedua-duanya.
"Apa yang diperlukan sekarang, adalah menaikkan rantaian nilai kita (daripada) hanya melakukan pemasangan di Kedah, kini kita mahu mempromosikan reka bentuk kad pengenalan pembungkusan maju (advance packaging).
"Sebagai salah satu contohnya, melalui MITI dan Kementerian Kewangan (MOF), kita telah membuat pertimbangan untuk memberikan lebih banyak bantuan kepada R&D, termasuk insentif khusus bagi pembelian peralatan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail [PN-Kubang Pasu] mengenai bagaimana kerajaan, khususnya MITI, menyeimbangkan risiko geopolitik supaya negara dapat mengelak daripada terus bergantung kepada satu-satunya syarikat atau negara bagi perkakasan cip AI.
Beliau turut ditanya mengenai inisiatif melatih jurutera tempatan untuk mengurus persekitaran AI yang heterogen melibatkan sistem NVIDIA dan Huawei serta sama ada kerajaan mengadakan rundingan dua hala jangka panjang untuk mendapatkan cip AI berprestasi tinggi daripada kedua-dua negara, AS dan China.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata dari segi latihan, ia merupakan satu cabaran kerana walaupun Malaysia mempunyai banyak kilang dan pusat R&D, bilangan jurutera kanan (top engineers) masih terhad.
Namun ujarnya pada masa sama, Malaysia mempunyai banyak syarikat yang memulakan kolaborasi dengan universiti tempatan.
"Kerajaan telah memberikan insentif yang lebih kepada syarikat-syarikat yang memberikan latihan berkemahiran tinggi kepada jurutera kita.
"Jurutera itu ada (wujud), tetapi pakar itu kurang. Ia bukan sahaja cabaran yang dihadapi oleh Malaysia, tetapiseluruh dunia kerana peningkatan permintaan terhadap teknologi AI.
"Pada masa sama, kita juga sedang berunding dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya pelajar (warga asing) dalam belajar dalam bidang kejuruteraan di negara ini, diberi peluang untuk bekerja di Malaysia," katanya.









Comments