top of page

Cikgu Bard kritik polis untuk bina persepsi, keliru orang awam?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 minutes ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Helmi Foad


Dakwaan seorang aktivis pembangkang bahawa polis gagal mendapatkan perintah reman berkaitan serbuan ke atas sebuah spa gay di ibu kota kerana kelemahan siasatan adalah tidak berasaskan fakta serta mengelirukan orang ramai.


Aktivis Pakatan Harapan Kelantan, Syam Ghaz berkata kritikan Cikgu Bard terhadap Polis Kuala Lumpur dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung operasi besar-besaran membanteras aktiviti tidak bermoral itu adalah “serangan tidak tepat” yang mengabaikan prosedur undang-undang negara.


"Segala tindakan polis dan KDN adalah berdasarkan undang-undang yang telah berkuat kuasa sejak pentadbiran Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan kini Kerajaan Madani.


"Sesiapa pun tidak boleh ditahan atau didakwa sewenang-wenangnya. Menuduh polis gagal hanya kerana reman ditolak menunjukkan Cikgu Bard tidak memahami proses perundangan," katanya dalam hantaran di Facebook.


Beliau yang dikenali sebagai Sham Ghaz berkata, serbuan besar serentak ke atas aktiviti gay kebelakangan ini sebaliknya membuktikan komitmen Kementerian Dalam Negeri mahu membanteras kegiatan berkenaan, bukan kegagalan.

Sham Ghaz
Sham Ghaz

Syam turut mempersoalkan naratif Cikgu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin yang cuba menggambarkan operasi polis sebagai cuai, sedangkan serbuan di tiga negeri membuktikan sebaliknya.


Antara kejayaan dalam tempoh singkat iaitu di Kuala Lumpur menyaksikan 201 individu ditahan, termasuk 17 penjawat awam.


Serbuan di sebuah banglo di Kelantan pula berjaya menahan lebih 20 lelaki manakala di Pulau Pinang, seramai 13 lelaki diberkas di sebuah pusat sauna, ujarnya.


"Ini operasi risikan berbulan-bulan dengan bukti kukuh. Kalau ini dianggap gagal, apa lagi yang mahu dibuktikan?" soal Syam.


"Cikgu Bard cuba pusing prosedur undang-undang untuk cetus persepsi."


Syam Ghaz menjelaskan bahawa reman hanya boleh mohon selepas tahanan 24 jam pertama dan keputusan terletak kepada majistret.


"Jika reman ditolak, itu bermakna dokumen siasatan awal sudah lengkap. Jadi menuduh polis tidak cekap adalah tidak berasas sama sekali," katanya.


Beliau berkata semua suspek masih dalam siasatan dan boleh dipanggil semula pada bila-bila masa.


"Penjawat awam berdepan tindakan tatatertib, bukti tindakan tidak mengenal pangkat."


Syam Ghaz turut menyatakan guru, pegawai kerajaan, doktor dan peguam yang terlibat kini menunggu tindakan tegas dari jabatan masing-masing.


"Kalau kerajaan mahu lindungi sesiapa, tentu mereka tidak disentuh. Hakikatnya, semua pihak dikenakan tindakan. Itu yang Cikgu Bard tidak sebut.


"Kritikan Cikgu Bard hanya alih perhatian, bukan pembelaan moral," ujarnya.


Syam Ghaz menyifatkan kenyataan Cikgu Bard sebagai percubaan mengalihkan perhatian daripada kejayaan operasi KDN.


"Kerajaan Madani sedang melaksanakan penguatkuasaan tegas tanpa pilih kasih. Yang cuba mempersoalkan reman itu sebenarnya hilang modal," katanya.


Laporan media sebelum ini memetik peguam kanan Muhammad Hasif Hasan berkata pihak berkuasa perlu mendapatkan bukti yang boleh mengaitkan seseorang individu dengan kegiatan tidak bermoral atau seks songsang termasuk dalam kes kontroversi serbuan pusat sauna gay di Chow Kit baru-baru ini.


Menurut beliau beban pembuktian kes terletak di bahu pihak pendakwaan dan tanpa bukti kukuh, sukar bagi pihak pendakwaan mendakwa seterusnya memenangkan kes di mahkamah.


"Sekiranya pendakwaan diteruskan, hakim tiada pilihan melainkan melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page