top of page

China sokong segerakan Malaysia jadi anggota penuh BRICS

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 7 minutes ago
  • 2 min read

Pertemuan PM Anwar - Presiden Xi membincangkan kerjasama perdagangan semalam
Pertemuan PM Anwar - Presiden Xi membincangkan kerjasama perdagangan semalam

Oleh: Helmi Foad


Malaysia mendapat dukungan besar dari China yang memberikan sokongan untuk menyegerakan penyertaan negara ini sebagai anggota penuh blok ekonomi BRICS.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu merupakan satu penghormatan kepada Malaysia untuk terus memainkan peranan penting di pentas dunia.


"Saya amat menghargai keikhlasan persahabatan yang dizahirkan Presiden Xi [Jinping] serta penghormatan yang diberikan kepada Malaysia.


"Meskipun kita sebuah negara kecil, keyakinan, saling percaya dan tekad bersama berupaya menjadi kekuatan besar untuk membentuk masa depan yang lebih aman, adil dan makmur," katanya dalam hantaran selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Xi di Great Hall of the People di Beijing, China semalam.


Anwar berkata pertemuan tersebut memperkukuh ikatan yang terjalin sejak lawatan negara Presiden Xi ke Malaysia pada April lalu dengan kedua-dua negara menandatangani 31 Memorandum Persefahaman (MoU) dan perjanjian.


"Alhamdulillah, saya dan Presiden Xi senada untuk terus memperkukuh persahabatan ini berteraskan kepercayaan, hormat dan keikhlasan.


"Saya nyatakan bahawa hubungan ini perlu diterjemah dengan pelaksanaan segera terhadap perkara yang telah dipersetujui. Hanya dengan tindakan pantas, hubungan istimewa ini dapat memberi impak yang lebih bermakna buat rakyat kedua-dua negara," ujar beliau.


Perdana Menteri berkata beliau turut menyatakan sokongan terhadap idea yang digagaskan oleh Presiden Xi khususnya Belt and Road Initiative (BRI) serta Global Governance Initiative (GGI) yang dicetuskan dalam Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) kali ini.


Dalam pada itu, Anwar berkata selepas kunjungan hormat itu, beliau mengetuai delegasi Malaysia ke Diaoyutai State Guest House bagi mengadakan mesyuarat dua hala dengan Premier Li Qiang dan delegasi China.


Beliau berkata Malaysia mengucapkan tahniah atas kejayaan Sidang Kemuncak SCO di samping menzahirkan penghargaan atas sokongan China terhadap ASEAN.


"Malaysia kekal komited membina komuniti strategik bersama China, seiring nilai MADANI.


"Kami turut meneroka peluang baharu dalam perdagangan dan pelaburan, khususnya memperkukuh kerjasama di bawah BRI serta inisiatif strategik lain yang melibatkan pembangunan infrastruktur, ekonomi digital, inovasi teknologi dan sumber tenaga," katanya.


Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan isu serantau termasuk perkembangan di Myanmar dan konflik Kemboja-Thailand dengan Malaysia dan China sepakat mahu melihat penyelesaian damai tercapai menerusi dialog.


Perdana Menteri Anwar mengadakan lawatan kerja ke China dari 31 Ogos hingga 3 September atas jemputan Presiden Xi Jinping, untuk menghadiri Sidang Kemuncak SCO dan Sambutan Ulang Tahun ke-80 Kejayaan Rakyat China dalam Peperangan Menentang Pencerobohan Jepun dan Peperangan Anti-Fasis Sedunia.


Ketika ini, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut dengan nilai perdagangan dua hala tahun lalu mencecah AS$106 bilion melibatkan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, perubatan, farmaseutikal serta minyak dan gas.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page