Tuduhan yang dibuat ke atas Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil kononnya berceramah di dalam masjid sewaktu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan lalu berakhir dengan saman ke atas 3 individu.
Menurut laporan Bernama, 3 individu yang disaman kerana tuduhan liar tersebut ialah blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo), penceramah bebas ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani dan pemilik akaun Facebook "N13 Kuang", Mohd Fauzan Madzlan.
Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili Fahmi memberitahu ketiga tiga saman itu difailkan secara berasingan pada 5 September lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dalam tuntutannya Fahmi sebagai plaintif mendakwa ketiga tiga defendan telah menyiarkan kata kata fitnah yang mendakwa beliau telah menyalahgunakan masjid bagi tujuan berkempen PRN dan bertindak bertentangan dengan titah Sultan Selangor yang melarang institusi ibadat digunakan sebagai platform politik.
Plaintif mendakwa kata kata fitnah itu disiarkan di akaun Tiktok dan Facebook Wan Muhammad Azri Wan Deris pada 1 Ogos makanala di akaun Facebook milik Mohd Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai lalu.
Tegas Fahmi, kenyataan fitnah itu tidak berasas apabila Majlis Agama Islam Selangor mengesahkan bahawa beliau tidak memberikan sebarang ucapan berunsur politik sebagaimana yang dituduh.
Plaintif juga dalam dokumen saman berkata pihaknya telah menghantar surat agar ketiga tiga individu berkenaan menarik balik kenyataan fitnah, membayar ganti rugi dan menyiarkan permohonan maaf namun mereka gagal berbuat demikian.
Fahmi mendakwa tiga defendan itu masih mengekalkan kenyataan fitnah berkenaan dalam laman sosial mereka.
Oleh itu, Fahmi menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk atau teladan dan perintah injuksi bagi menghalang kesemua defendan daripada mengulangi semula kenyataan fitnah berkenaan.
Comentarios