
Calon DUN Layang Layang, Dr Maszlee Malik berceramah di hadapan para penyokong sebaik sahaja pulang dari penamaan calon.
Dalam ceramah itu, Maszlee mengungkapkan impian beliau dan warga Johor yang mahu negeri itu kembali gemilang dan menjadi pemain ekonomi hebat di rantau Asia Tenggara.
Katanya, rancangan besar ke arah kemakmuran ekonomi itu telah pun dirangka namun kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan pada Februari 2020 lalu.
"(Perancangan yang besar) perlukan Kerajaan Negeri yang mampu, kredibel dan komited. Bukan nak kayakan diri mereka sendiri, bukan nak kayakan sesama kroni. Tetapi yang tekad untuk bangunkan rakyat.
"Kalau dapat bangunkan itu ia harus sekali dengan perubahan di Layang Layang. Adakah kita menjanjikan perkara mustahil? Tidak kerana kita pernah rancang. Kita pernah nak buat tetapi digagalkan apabila berlakunya pertukaran kerajaan
"Tekad kita, kita dapat semula kerajaan, kita bangunkan. Bukan setakat Layang Layang, bukan setakat Renggam. Kita bangunkan satu Johor," katanya.
Mantan Menteri Pendidikan itu mengimbau prestasi pentadbiran kerajaan PH Johor sepanjang 2018 - 2020 lalu yang membanggakan dan telah dipuji dalam Laporan Ketua Audi Negara 2019.
Katanya, PH akan memperbaiki prestasi itu sekiranya dipilih semula mentadbir Johor dalam Pilihan Raya Negeri 12 Mac ini.
"Kalau PH menang di Johor apa kita nak buat? Kita banyak nak buat. Pencapaian kita diakui oleh Laporan Audit Negara 2019. Ini tak tipu, dibawa ke Parlimen dan disahkan Parlimen.
"Kalau tanya saya, saya punya empat tekad. Untuk jadikan negeri Johor senagai pemain ekonomi antarabangsa. Kita nak letak Johor di peta dunia sebagaimana pernah gilang gemilang dengan empayar Johor Riau. Kita mampu lakukan," katanya lagi.