top of page

CEO Alam Maritim direman bantu siasatan SPRM terkait RCI Tabung Haji

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Aug 17
2 min read

Alam Maritim Resources Bhd mengesahkan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulannya, Datuk Azmi Ahmad kini direman bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Syarikat penyedia perkhidmatan sokongan minyak dan gas itu dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia berkata penahanan reman berkenaan adalah bagi memudahkan siasatan yang sedang berlangsung.


Bagaimanapun, syarikat itu menegaskan tindakan reman itu tidak membawa maksud terdapat sebarang penemuan bahawa Azmi melakukan kesalahan.


"Penahanan reman adalah bagi tujuan memudahkan siasatan yang sedang berjalan dan tidak melibatkan sebarang dapatan salah laku," kata syarikat itu dalam pengumuman bertarikh 17 Ogos dipetik FMT.


Lembaga Pengarah Alam Maritim turut memaklumkan langkah sewajarnya telah diambil bagi memastikan operasi kumpulan terus berjalan seperti biasa sepanjang tempoh berkenaan.


Menurut syarikat itu sebarang perkembangan lanjut yang bersifat material akan diumumkan dari semasa ke semasa.


Rekod korporat Alam Maritim menunjukkan Azmi merupakan individu yang telah lama menerajui syarikat berkenaan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO Kumpulan.


Pengumuman itu susulan daripada laporan media tempatan sebelum ini bahawa seorang CEO syarikat perkapalan bergelar Datuk adalah antara tujuh individu yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan susulan dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).


Turut ditahan ialah seorang pengarah syarikat, bekas pengarah syarikat serta empat bekas pegawai pengurusan kanan TH.


Menurut sumber, CEO syarikat perkapalan berusia lingkungan 60-an itu disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu ketika membuat bayaran kepada TH membabitkan dokumen kontrak sebuah syarikat petroleum untuk kepentingan syarikat miliknya.


Hanya dua daripada tujuh individu terbabit direman selama lima hari sehingga 19 Ogos manakala lima lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan.


Penahanan itu merupakan sebahagian siasatan pasukan khas SPRM yang menyemak dan meneliti hasil Laporan RCI TH selepas laporan berkenaan didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu.


Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 serta Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.


Laporan RCI TH meneliti isu pengurusan dan tadbir urus TH serta mengemukakan 25 syor penambahbaikan sebelum laporan itu dibahas dalam Sidang Khas Dewan Rakyat baru-baru ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page