top of page

Cendekiawan Malaysia, Indonesia bergabung dukung gagasan Madani

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • Aug 23, 2025
  • 2 min read

DS Anwar menerima Deklarasi Majlis Cendekiawan Madani Malaysia-Indonesia (Malindo Madani) semalam
DS Anwar menerima Deklarasi Majlis Cendekiawan Madani Malaysia-Indonesia (Malindo Madani) semalam

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menerima Deklarasi Majlis Cendekiawan Madani Malaysia-Indonesia (Malindo Madani) yang merupakan rumusan bersama golongan sarjana dari kedua-dua negara itu berkaitan gagasan Madani.


Deklarasi melibatkan lima perkara utama itu diserahkan Pengerusi Pusat Dialog dan Kerjasama Antara Tamadun Indonesia, M Din Syamsuddin dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil dalam satu majlis selepas solat Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata para cendekiawan Malaysia dan Indonesia telah berganding bahu dalam merangka deklarasi ini sekali gus membuktikan ikatan persaudaran yang terjalin melangkaui soal budaya dan sejarah.


"Saya amat tersentuh....ukhuwah serumpun tidak hanya terjalin melalui budaya dan sejarah, tetapi juga melalui ilmu, nilai dan cita-cita bersama.


"Moga usaha ini menjadi titik tolak kepada pengukuhan kerjasama dua negara dalam memperkasa agenda Malaysia Madani dan mengangkat martabat umat di persada dunia," katanya dipetik selepas menyaksikan penyerahan deklarasi itu.


Terdahulu Anwar menunaikan solat Jumaat, bacaan Qunut Nazilah serta solat hajat di Masjid Putra bersama lebih 4,000 jemaah bagi mendoakan kesejahteraan umat Islam di Gaza.


Khutbah bertajuk ‘Bangkit Membela Teguh Bersaudara’ disampaikan Imam Besar Masjid Putra Muhammad Zakuwa Rodzali.


Deklarasi itu antara lainnya mengetengahkan potensi peradaban Melayu-Islam untuk terus dikembangkan, keutamaan keseimbangan alam sekitar berbanding eksploitasi, serta pemulihan keseimbangan psikologi individu dan masyarakat.


Malindo Madani adalah inisiatif strategik yang menghimpunkan sarjana, pemimpin pertubuhan Islam, pembuat dasar, dan tokoh masyarakat dari Malaysia-Indonesia serta negara serantau bagi membincangkan agenda peradaban berteraskan nilai Malaysia Madani.


Dalam pada itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hassan berkata idea awal Malindo Madani dicetuskan M. Din sendiri dan disambut baik secara prinsip oleh Perdana Menteri Anwar.


"Beliau (M Din) mengusulkan agar diadakan Majlis Malindo bagi mengumpulkan tokoh-tokoh kedua-dua negara yang dapat membincangkan kaedah terbaik menyatu dan memajukan umat.


"Prof Dr M Din mendokong penuh gagasan Madani dan berkeyakinan ia menjadi solusi kepada dunia Islam," ujarnya.


Jelas beliau IKIM telah tampil menjadi penganjur utama buat julung kalinya Majlis Cendekiawan Malaysia-Indonesia di Kuala Lumpur.


"Seramai lebih 46 ilmuwan dan cendekiawan dari Indonesia ymenyertai Sesi Dialog dan Persidangan kali ini. Begitu juga dengan ilmuwan dan cendekiawan Malaysia.


"Gabungan mantap untuk mencetus gerakan dan gelombang Madani di peringkat serantau dan dunia," ujarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page