Cegah buli: Cadangan tempatkan polis bantuan di sekolah diteliti
- Suara Keadilan

- Sep 15
- 1 min read

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited memastikan keselamatan murid terus terjamin dengan memperhalusi pelbagai cadangan bagi membendung gejala buli di sekolah.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (gambar) berkata, antara cadangan yang diteliti termasuk penempatan polis bantuan serta pondok polis di kawasan sekolah.
"Kita ambil kira semua pandangan ketika ini, khususnya melalui Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Sekolah serta proses audit keselamatan yang sedang berjalan.
"KPM juga mengumpul maklum balas menerusi sesi libat urus ‘town hall’ bersama Kementerian Undang-Undang dan Kementerian Komunikasi untuk meneliti rang undang-undang anti-buli," katanya dipetik.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata begitu selepas merasmikan Kongres Pra Universiti MADANI 2025 peringkat Pulau Pinang di USM Kampus Kejuruteraan pada Ahad.
Sementara itu jelasnya, cadangan-cadangan berkenaan masih dalam penelitian sebelum KPM memuktamadkan langkah terbaik untuk dilaksanakan.
Beliau menegaskan ketika ini pihaknya juga telah menguatkuasakan peraturan sedia ada serta memastikan pematuhan garis panduan keselamatan di sekolah agar kesejahteraan murid dan warga pendidik sentiasa terpelihara.









Comments