top of page

Caruman LINDUNG 24 Jam tidak lagi wajib, penyertaan secara sukarela

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 hours ago
  • 2 min read
Kredit foto: Media sosial Perkeso
Kredit foto: Media sosial Perkeso

Kerajaan memutuskan caruman bagi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tidak lagi diwajibkan, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.


Keputusan itu diumumkan menerusi kenyataan media Mesyuarat Jemaah Menteri selepas Kabinet meneliti maklum balas orang ramai berhubung pelaksanaan skim berkenaan yang sebelum ini menetapkan caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja.


Menurut kenyataan itu, Jemaah Menteri bersetuju supaya penyertaan dalam skim berkenaan dibuat secara pilihan dan bukan lagi mandatori.


"Perdana Menteri telah membangkitkan maklum balas yang diterima berhubung pelaksanaan caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja bagi LINDUNG 24 Jam di bawah PERKESO.


"Justeru itu, Jemaah Menteri hari ini telah memutuskan bahawa caruman tersebut tidak lagi bersifat mandatori, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela, berkuat kuasa serta-merta," kata kenyataan itu.


Kerajaan memaklumkan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan keputusan tersebut akan diumumkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).


Dalam perkembangan sama, Kabinet turut meluluskan lanjutan pelepasan cukai kepada Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) bagi tempoh 10 tahun.


Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dibuat selepas kerajaan menghargai peranan universiti tersebut dalam menyediakan pendidikan tinggi swasta yang berkualiti dan berpatutan.


Bagaimanapun, pelepasan cukai itu tertakluk kepada semakan pematuhan sepanjang tempoh kelulusan, termasuk syarat mengemukakan penyata kewangan yang diaudit setiap tahun selaras dengan Akta Cukai Pendapatan 1967.


Sementara itu, Kabinet turut mengambil ketetapan menghentikan serta-merta sebarang perolehan baharu peralatan atau kelengkapan pertahanan dari Norway.


Keputusan itu dibuat susulan tindakan kerajaan Norway membatalkan lesen eksport peluru berpandu yang sepatutnya melengkapkan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).


Selain itu, kerajaan juga memutuskan tiada keperluan untuk menaikkan had umur persaraan penjawat awam.


Sehubungan itu, had umur persaraan wajib bagi penjawat awam kekal pada usia 60 tahun.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page