top of page

Calon wanita KEADILAN fokus isu kesihatan, kebajikan rakyat



Calon calon wanita KEADILAN dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak kali ini berjanji untuk fokus kepada isu meningkatkan kebajikan dan kesihatan rakyat.


Bagi calon DUN Opar, Meneng Biris; DUN Murum, Anie Amat dan DUN Lambir, Zulhaidah Suboh rakyat Sarawak sepatutnya mendapat kebajikan dan pembelaan yang lebih baik daripada kerajaan Gabungan Parti Sarawak yang telah memerintah selama 58 tahun.


Namun kata mereka, tiada pembelaan yang berpatutan diberi kepada rakyat dari hasil bumi Sarawak yang melimpah ruah dan simpanan tunai kerajaan RM31 bilion.


"Kami percaya Sarawak yang maju dan makmur bermula dengan rakyat yang sihat sejahtera. Menjaga kesihatan fizikal dan mental rakyat daripada ancaman Covid-19 sangat penting demi kestabilan keluarga dan masyarakat.


"Selama 2 tahun lalu ini, kami telah turun ke lapangan dan sangat terkesan dengan kesusahan yang dialami penduduk di Opar, Murum dan Lambir. Sepanjang pandemik Covid-19, kami sering dihubungi oleh keluarga B40 yang kehilangan perkerjaan dan tidak dapat menyediakan makanan yang mencukupi untuk keluarga mereka.


"Ramai ibu bapa juga tidak dapat menyediakan susu untuk anak-anak mereka. Ramai pesakit dan orang kurang upaya turut meminta bantuan. Ada yang tidak mampu membeli peralatan kesihatan dan ada yang tidak dapat menampung perbelanjaan ke klinik atau hospital untuk rawatan.


"Hati kami tersentuh melihat penderitaan yang dialami orang-orang kampung dan rumah panjang dan inilah antara faktor mengerakkan hati kami melangkah ke arena politik demi membentuk satu perubahan yang bermakna," kata mereka dalam sidang media secara atas talian, pagi tadi.


Menurut mereka lagi, KEADILAN akan membariskan beberapa skim utama untuk rakyat Sarawak sekiranya diberi mandat pada 18 Disember ini.


Kata mereka, KEADILAN berjanji akan menyediakan Dana Ehsan Covid-19 bagi tujuan membendung jangkitan dan merawat Covid-19, termasuk memberi kit ujian saringan percuma kepada semua penduduk dan Dana Ehsan Covid-19 kepada keluarga yang terjejas.


Selain daripada itu, bakul makanan akan disediakan buat golongan B40 yang hilang punca pendapatan akibat pandemik melalui Yayasan Foodbank KEADILAN.


Inisiatif ini juga, tambah mereka, akan memberikan bantuan susu kepada kanak-kanak keluarga daif yang memerlukan.


KEADILAN juga akan terus memperjuangkan skim skim diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan seperti Program Peka B40 dan MySalam untuk diperluaskan


"KEADILAN akan berusaha memastikan Program Peka B40 dan MySalam yang telah dimulakan oleh kerajaan PH pada tahun 2019 untuk meringankan beban pesakit akan diteruskan dan diperluaskan kepada golongan M40 melalui Kementerian Kesihatan bagi mendaftar peserta baru.


"Program ini akan membantu warga emas, pesakit dan golongan Orang kelainan Upaya mendapat bantuan sosial dan peralatan kesihatan.


"Kami juga mendapati ramai pesakit yang tidak sedar akan bantuan ini. Oleh itu kami akan berusaha untuk memastikan maklumat sampai dengan tepat kepada golongan sasaran dan permohonan yang layak dipermudahkan. Kami akan berusaha untuk memastikan kerajaan mengelolakan lebih banyak perkhidmatan awam bergerak yang dapat menyampaikan maklumat kepada penduduk-penduduk kampung dan kawasan pendalaman


"Selain daripada itu, program saringan kanser payudara dan kanser serviks akan dilancarkan di seluruh Sarawak khasnya kawasan luar bandar sebagai tindakan mesra wanita. Kami telah membuat beberapa program sedemikian selama 2-3 tahun kebelakangan dan mendapat sambutan yang sangat baik daripada kaum wanita di luar bandar," kata mereka.


Dalam kenyataan itu, KEADILAN juga bertekad akan memastikan setiap hospital daerah dilengkapi ujian diagnostik, radiologi, perkhidmatan kecemasan, pakar bedah, trauma dan ortopedik serta Unit Rawatan Intensif dengan peralatan mencukupi.


Setiap klinik kesihatan perlu ada doktor, jururawat, bidan yang terlatih dan servis ambulan.


"Di kawasan Murum dan Belaga contohnya, rakyat terpaksa memakan masa 2-3 jam untuk ke Hospital Bintulu untuk ujian diagnostik dan rawatan. Situasi ini sangat membebankan rakyat dan tidak selamat jika berlaku kecemasan," kata mereka.


Satu lagi yang menjadi tumpuan adalah mewujudkan Pelan Bencana Banjir dan Dana Ihsan Bencana, iaitu pelan komprehensif mengatasi Bencana Banjir di Sarawak yang membawa kesan negatif kepada penduduk. Dana bencana segera RM500 akan disediakan buat setiap keluarga yang mengalami bencana kebakaran, banjir dan bencana alam semulajadi.


Manakala ibu tunggal akan dipastikan kebajikan mereka terbela. Hal ini termasuk memperkasakan mereka melalui program perniagaan dan penternakan ayam. Misalnya di Opar, calon KEADILAN, Meneg Biris telah mengkongsi beribu anak ayam dengan ibu-ibu tempatan supaya mereka mendapatkan telur dan daging ayam untuk menyediakan makanan yang mencukupi untuk keluarga mereka.


"Meneng dalam hal ini telah melibatkan ramai wanita tempatan dalam program pertanian dan mempromosikan pertanian itu sebagai satu perniagaan kepada kaum wanita seandainya diberikan galakkan dan bantuan kerajaan," kata mereka.


Selain itu, KEADILAN turut berjanji untuk menyediakan Bantuan Tunai Pendapatan Minima kepada setiap keluarga miskin. Setiap keluarga yang berpendapatan isi rumah di bawah garis kemiskinan akan diberikan RM500 sebulan.


"Peruntukan tersebut akan diambil daripada ‘wang simpanan’ kerajaan Sarawak sebanyak RM31 bilion yang diperkatakan oleh GPS.


"Inisiatif ini akan membantu keluarga miskin tegar terutamanya warga emas, ibu dan bapa tunggal. Tidak ada gunanya Sarawak mempunyai wang simpanan yang berbilion ringgit jika nasib keluarga daif tidak dibela," kata mereka lagi.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page