Calon PRN Sabah digesa isytihar harta, bina keyakinan rakyat
- Suara Keadilan

- Oct 15
- 1 min read

Oleh: Helmi Foad
Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah (PRN) ke 17 seharusnya menjadi pilihanraya paling bersih dalam sejarah sekiranya calon calon yang mengambil bahagian mengisytiharkan harta masing masing.
Perisytiharan harta menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung (gambar) merupakan langkah penting dalam membina kepercayaan rakyat terhadap para calon serta parti politik.
Sehubungan itu, katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar menjadikan pengisytiharan harta sebagai syarat wajib untuk bertanding dalam PRN Sabah ini.
"Mengisytiharkan harta bukan sahaja menunjukkan integriti peribadi tetapi juga mencerminkan profesionalisme dan akauntabiliti, nilai penting bagi sesiapa yang mahu berkhidmat dalam jawatan awam," kata Chean Chung dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN berkata, ketelusan sedemikian membolehkan pengundi menilai kredibiliti dan kemampuan calon secara lebih menyeluruh.
Chean Chung turut mengingatkan bahawa perkara itu bukan sesuatu yang baharu kerana beliau sendiri dan ramai calon KEADILAN sebelum ini telah mengisytiharkan harta semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 lalu, serta mengulangi gesaan sama pada pilihanraya enam negeri pada 2023.
Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon KEADILAN lain turut berbuat demikian pada PRU-15, sekali gus menunjukkan teladan kepimpinan yang mengutamakan integriti dan tanggungjawab awam.
"Jawatan awam adalah amanah rakyat. Mereka yang ingin berkhidmat kepada rakyat tidak sepatutnya takut untuk membuktikan bahawa kekayaan dan integriti mereka mampu bertahan di bawah penelitian umum," katanya lagi.









Comments