DAP memperkenalkan dua muka baharu sebagai calon parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Dalam majlis memperkenalkan calon yang diadakan di ibu pejabat parti berkenaan di Jalan Pudu, Kuala Lumpur sebentar tadi, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengharapkan pengundi Melaka akan menerima calon-calon dari parti itu berdasarkan prestasi dan semangat untuk membantu rakyat yang dibawa mereka.
"DAP bertanding 8 kerusi DUN dalam PRN Melaka kali ini di bawah PH.
"Daripada 8 kerusi itu 6 kita kekalkan ADUN yang sama. Ada dua muka baru. Saya umumkan nama calon DAP yang kita putuskan selepas mendapat syor jawatankuasa DAP Melaka.
"Untuk kerusi Gadek kita calonkan Saminathan a/l Ganesan, bekan ADUN dan Exco kerajaan PH Melaka. DUN Pengkalan Batu kita calonkan Muhamad Danish Zainudin, muka baru di mana bekas ADUN telah lompat dari DAP.
"Ayer Keroh DAP kekalkan bekas ADUN dan Exco PH, Kerk Chee Yee. Kesidang DAP calonkan semula Allex Seah Shoo Chin
"Bemban, DAP calonkan Pengerusi DAP Melaka Tey Kok Kiew, tak perlu diperkenalkan kerana telah dikenali orang ramai," katanya dalam sidang media secara maya yang membariskan beberapa calon tersebut.
Dalam masa sama, Guan Eng menegaskan DAP akan berusaha sepenuh daya untuk mengekalkan kerusi yang dimenangi mereka dalam Pilihan Raya Umum ke 14 dan merampas semula kerusi DUN yang telah dikhianati dalam perubahan kerajaan pada Mac 2020 lalu.
"DAP akan berikan segala usaha untuk mencapai kemenangan.
"Pada hari penamaan calon, 8 November adalah sesuatu yang amat mencabar. Namun kita pastikan DAP sebagai satu pasukan kuat untuk mendapat mandat (sekali lagi) sebagai kerajaan PH," katanya.
Mengenai usaha memperkenalkan calon-calon kepada pengundi, Guan Eng mengakui parti itu belum memutuskan kaedah yang akan digunakan berikutan larangan berkempen yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya.
"Sungguh pun kita hadapi rintangan dan tidak boleh kempen, kita tidak tahu bagaimana untuk memperkenalkan calon, dan menawarkan kepada rakyat mengenai apa yang kita akan buat bila jadi kerajaan kembali namun kita akan tetap berusaha.
"Kita harap akan menjadi sebuah kerajaan yang mewakili semua kaum, tanpa mengira agama dan latar belakang," katanya lagi.
Calon-calon DAP yang akan bertanding di 8 kerusi DUN ialah: N07 Gadek – Saminathan a/l Ganesan, N15 Pengkalan Batu – Muhamad Danish Zainudin (muka baharu), N 16 Ayer Keruh – Kerk Chee Yee, N19 Kesidang – Allex Seah Shoo Chin, N21 Duyong – Damian Yeo Shen Li, N22 Bandar Hilir – Leng Chau Yen (calon baharu) dan N24 Bemban – Tey Kok Kiew
Comments