Calon PRK: Suhaizan di parlimen Pulai, Nazri DUN Simpang Jeram
- Redzuan Shamsudin
- Aug 19, 2023
- 1 min read

Amanah telah mengumumkan calonnya untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram lebih awal daripada dijadualkan.
Hal itu diumumkan oleh Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam satu kenyataan.
"Mesyuarat Amanah Nasional pada 15 Ogos 2023 telah bersetuju membentuk Jawatankuasa Pemilihan Calon Bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang dianggotai oleh Adly Zahari (Naib Presiden merangkap Ketua Jawatankuasa), Datuk Wira Dr Hatta Ramli (Setiausaha Agung), Datuk Mahfuz Omar (Naib Presiden), Aiman Athirah Al Jundi (Ketua AWAN), Hasbie Muda (Ketua Pemuda) dan Aminolhuda Hasan (Pengerusi AMANAH Negeri Johor).
"Jawatankuasa ini telah bermesyuarat dan telah mengemukakan senarai calon kepada saya serta Ahli Jawatankuasa Nasional Parti Amanah Negara pada 17 Ogos 2023 untuk dimuktamadkan," katanya.
Menurut Mohamad, setelah mengambil kira pelbagai faktor terutama faktor calon tempatan yang menjadi trend Pilihan Raya Negeri lalu maka jawatankuasa bersetuju mengumumkan 2 nama untuk mewakili PRK berkenaan.
"Setelah mengambil kira semua faktor dan pandangan daripada jawatankuasa ini, saya dengan ini mengumumkan calon-calon yang akan bertanding mewakili Amanah-Pakatan Harapan serta parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan adalah Suhaizan Kaiat bagi P161 Pulai dan Nazri Abdul Rahman bagi N13 Simpang Jeram.
"Calon calon ini akan diperkenalkan dalam Majlis Memperingati Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayob pada 23 Ogos 2023 nanti di DUN Simpang Jeram, Johor," katanya lagi.
PRK Pulai dan Simpang Jeram diadakan selepas penyandang kedua dua kerusi tersebut Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia pada Julai lalu.
Yorumlar