Bekas Menteri Undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim semalam muncul dalam satu kenyataan video merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu agar memilih Perdana Menteri (PM) yang boleh menyelamatkan negara.
Katanya, masih banyak Ahli Parlimen yang baik dan berpotensi untuk mengembalikan Malaysia ke landasan yang betul berbanding tokoh-tokoh politik sedia ada.
"Tuanku akan bersidang pada hari Jumaat untuk memilih PM.
"Saya harap pilihlah salah seorang daripada Ahli Parlimen yang ada, orang yang baik, bukan orang yang dapat bilangan sokongan secara surat sumpah dan sebagainya.
"Maksud saya seseorang yang baik dan boleh menyelamatkan negara.
"Kita perlu seorang PM yang boleh mengubah keadaan negara. Kita tidak boleh bergantung sangat kepada nama-nama atau parti politik besar. Mereka telah gagal Tuanku.
"Kalaulah parti-parti politik Melayu ini telah berjaya, kita tidak akan berada dalam keadaan sekarang," katanya dipetik.
Menurut Zaid lagi, beliau percaya wujud ahli politik yang baik dan akan pergi ke Parlimen untuk melaksanakan usul Undi Percaya selepas Agong melantiknya sebagai PM.
Sekiranya calon itu gagal dalam Undi Percaya, kata Zaid, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik calon yang lain menggantikannya.
"Ada banyak orang baik dalam Parlimen. Tetapi kita tidak boleh biarkan blok pimpinan politik, political cartel untuk menentukan masa depan negara
"Rakyat tidak ada cara lain selain menyerahkan nasib mereka kepada Duli-duli Yang Maha Mulia. Tuanku perlu memilih orang terbaik untuk melakukan tugas," katanya lagi.
Zaid berharap akan berlaku perubahan kali ini dan corak pemerintahan lama yang cenderung mengkayakan diri, kroni serta menyalahgunakan kuasa dapat dihindarkan.
Commentaires