Calon PH tidak kurang Sabahnya, elak main sentimen negeri demi politik
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 1 min read

Calon-calon yang ditampil Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah kali ini kesemuanya adalah anak negeri di bawah bayu yang mempunyai semangat untuk membangunkan kawasan mereka, demikian kata Naib Presiden KEADILAN Chang Lih Kang.
Beliau berkata, PH walaupun bersifat nasional, ia mempunyai cabang organisasi di setiap negeri termasuk Sabah.
"Ada orang yang cuba mainkan isu sentimen kenegerian seolah-olah kita ini tak cukup Sabah. Sebenarnya semua calon kita adalah anak tempatan.
"Calon-calonnya tak kurang Sabahnya daripada calon-calon parti lain," katanya kepada pemberita selepas mengiringi calon PH kerusi Api-Api Thonny Chee di Kota Kinabalu, semalam.
Lih Kang yang juga Menteri Sains dan Teknologi berkata, PH dan KEADILAN sendiri memberikan kuasa autonomi kepada kepimpinan di Sabah dan Sarawak untuk membuat sebarang keputusan.
"Kita memang ada autonomi, kuasa autonomi untuk negeri Sabah dan Sarawak. Dan itu sebabnya isu sentimen kenegrian itu dia tidak timbul," tegas beliau.
"Selama ini kita memang macam itu. Cuma ada orang yang cuba mainkan sentimen demi kepentingan politik. Dan akhirnya dia juga dalam kerajaan pusat. Orang yang bantai ini dia juga dalam kerajaan pusat. Jadi saya selalu kata jangan dengar apa ahli politik cakap. Tengok apa yang dia buat."
Thonny turut menyatakan pandangan yang sama dengan mengingatkan bahawa ramai masyarakat Sabah mempunyai isteri berasal dari Semenanjung.
"Sebenarnya tiada istilah (kenegerian) dalam kita ini, dalam satu negara yang satu rumpun. Jadi apabila kita berbahasa itu kita kena jagalah tertib. Sepertinya kita menarik rambut dalam tepung. Rambut tidak putus, tepung jangan berselerak," kata Thonny Chee.





