top of page

Calon PH Seri Menanti mahu perkenal insentif anak jaga ibu bapa

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 1 min read
Calon DUN Seri Menanti (baju biru) berkempen bersama Dr Wan Azizah
Calon DUN Seri Menanti (baju biru) berkempen bersama Dr Wan Azizah

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa, bercadang memperkenalkan insentif kepada anak-anak yang bekerja di luar kawasan supaya pulang ke kampung dan menjaga ibu bapa mereka sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat.


Beliau berkata, tinjauan yang dilakukan di kawasan DUN berkenaan mendapati ramai warga emas kini tinggal berdua sahaja di rumah, malah ada yang tinggal bersendirian selepas kehilangan pasangan.


Menurutnya, insentif berkenaan bertujuan membantu meringankan beban kewangan anak-anak yang mengambil keputusan untuk pulang menetap bersama ibu bapa mereka.


"Sekiranya kalau saya menang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, saya nak perkenalkan insentif untuk anak-anak yang bekerja di luar balik ke kampung dan menjaga orang tua mereka," katanya.


Beliau berkata, terdapat anak-anak yang bekerja di Seremban atau kawasan lain terpaksa meletakkan ibu bapa mereka di rumah penjagaan warga emas kerana kekangan masa dan logistik.


"Bila anak menetap dengan ibu bapa, ada orang menjaga ibu bapa.


"Jadi untuk menggalakkan anak-anak ini balik ke kampung dan tinggal bersama ibu bapa, maka wajar diberi insentif tertentu," jelas Kamarul.


Dalam pada itu, Kamarul berkata penduduk setempat turut membangkitkan isu berkaitan keadaan asas kediaman mereka seperti bumbung bocor dan dinding rumah yang reput.


Beliau berkata, penduduk berharap wakil rakyat dapat mengambil tindakan lebih pantas dalam menangani masalah berkaitan kemudahan asas perumahan.


"Penduduk setempat juga mengadu isu asas kediaman mereka seperti bumbung bocor, dinding reput dan mereka harapkan tindakan pantas oleh wakil rakyat," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page