Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Zuraida Kamaruddin dan calon Perikatan Nasional (PN) DUN Machap Jaya, Tai Siong Jiul didakwa melanggar tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Dalam satu video yang dimuatnaik di Facebook, mereka berdua diikuti penyokong PN didapati masih bertemu dengan pengundi pada kira-kira 10.40 pagi tadi.
Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Machap Jaya, Law Bing Haw yang menerima aduan orang ramai membuat keputusan untuk membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah.
"Saya membuat laporan polis terhadap Zuraida dan calon PN kerana mereka masih lagi merayu undi dan menjalankan aktiviti di luar tempoh kempen di Machap Baru.
"Kita menerima aduan dari orang awam ketika mereka bersarapan di kedai-kedai makan di Machap Baru dan ada dapat video rakaman sebagai bukti, sebab mereka ini jelas masih lagi merayu undi dan melanggar Akta Pilihan Raya 1954.
"Dalam hari mengundi sebenarnya tidak boleh melakukan sebarang aktiviti untuk meraih undi. Ini memang salah dan sebab itu saya buat laporan polis. Saya berharap pihak berkuasa boleh mengambil tindakan selanjutnya kerana jelas telah melanggar akta," katanya dalam siaran langsung di akaun Facebook miliknya hari ini.
Dalam kenyataan semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada jam 11.59 minit malam, 19 November 2021.
"Selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi.
"Mana-mana pihak tidak boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.
"SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung semasa hari mengundi. Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan ini akan diambil tindakan undang-undang," katanya.
תגובות