top of page

Calon PH DUN N62 Silam tarik diri, hormati hubungan parti sekutu - Mustapha

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 7 hours ago
  • 1 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Penarikan diri calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) N62 Silam, Abdul Halim Sidek Gulam Hassan pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) Sabah ke-17 merupakan keputusan peribadi beliau tanpa sebarang tekanan mana-mana pihak luar, kata Datuk Mustapha Sakmud (gambar).


Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sabah itu berkata, pihaknya mengambil maklum perkara tersebut dan menghormati keputusan yang dibuat oleh Abdul Halim.


"Kami menghormati keputusan tersebut yang dibuat secara bertanggungjawab selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan, termasuk menjaga hubungan baik dan keharmonian antara parti-parti komponen dalam PH dan rakan kerjasama politik (sekutu) di Sabah.


"Saya ingin menegaskan keputusan itu adalah keputusan peribadi beliau tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak luar.


"Semangat setiakawan dan keutuhan kerjasama politik sentiasa menjadi keutamaan kami dalam memastikan kestabilan politik Sabah terus terpelihara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Calon PH, Abdul Halim Sidek Gulam Hassan
Calon PH, Abdul Halim Sidek Gulam Hassan

Meskipun Abdul Halim tidak bertanding pada PRN kali ini, namun Mustapha memaklumkan mantan calon itu tetap komited untuk terus berkhidmat kepada rakyat Silam dan Lahad Datu dalam sebarang kapasiti yang mampu disumbangkan.


"KEADILAN Sabah menghargai semangat perjuangan beliau yang tidak pernah pudar demi rakyat dan negeri Sabah.


"Kami menyeru seluruh jentera dan penyokong PH di Silam khususnya dan Lahad Datu amnya agar kekal tenang, terus fokus, dan terus memperkukuh perpaduan demi kemenangan gabungan kita dan masa depan rakyat Sabah," kata beliau lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page